Uzbekistan menjadikan kempen Piala Dunia Futsal 2021 sebagai sejarah terhebat buat mereka selepas berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 susulan kemenangan 2-1 yang dicatatkan ke atas Mesir pada aksi terakhir peringkat kumpulan B, awal pagi tadi.
Kejayaan mara buat pertama kali ke saingan kalah mati itu tidak hadir dengan mudah apabila Uzbekistan sebelum ini begitu tertekan berikutan tewas pada dua perlawanan awal bertemu Guatemala dan naib juara edisi 2016, Rusia [yang dikenali sebagai RFU pada kempen kali ini].
Apatah lagi, skuad bimbingan Bakhodir Akhmedov itu hanya layak secara automatik dengan kelebihan perbezaan gol kerana Guatemala dan Mesir juga turut mengikut tiga mata seperti Uzbekistan.
Sedar hanya kemenangan dapat menghidupkan peluang mereka, Uzbekistan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Nishonov melakukan rembatan jarak jauh yang sekali gus menewaskan penjaga gol Mesir, Gamal Abdelnaser pada minit kedua.
Anaskhon Rakhmatov kemudiannya hampir menjadikan kedudukan 2-0 tetapi percubaannya selepas melepasi kawalan pemain Mesir sekadar singgah di tiang gol.
Kem Mesir melonjak kegembiraan pada minit ke-19 apabila Mostafa Eid mengambil kesempatan berikutan kesilapan hantaran dilakukan Ikhtiyor Ropiev dalam kawasan sendiri untuk membolehkan ketua pasukan tersebut menyempurnakan peluang terhidang bagi kembali menyamakan kedudukan.
Ketika perlawanan hanya berbaki enam minit untuk ditamatkan, Rakhmatov menjaringkan gol yang amat dinanti-nantikan oleh para penyokong Uzbekistan dimana beliau melakukan percubaan voli sekali gus membawa pasukannya ke pusingan 16.
Kejayaan bermakna ini juga menyaksikan Uzbekistan menjadi pasukan kedua dari benua Asia layak ke pusingan seterusnya selepas Iran mengesahkannya pada Jumaat lalu hasil kemenangan 4-2 ke atas Amerika Syarikat.
Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16
Piala Dunia Futsal: Iran, Jepun Mulakan Kempen Dengan Bergaya