Pasukan gergasi Asia, Iran memulakan kempen Piala Dunia Futsal 2021 dengan langkah bergaya selepas berjaya menunjukkan Serbia 3-2 pada aksi kumpulan F yang berlangsung di Vilnius Arena, malam tadi.
Kemenangan yang diraih skuad bimbingan Seyed Nazimalsharieh itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila wakil daripada Eropah tersebut memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.
Iran hanya memerlukan empat minit sahaja untuk membuka tirai jaringan selepas Hamid Ahmadi meledakkan rembatan kaki kiri dari jarak jauh yang tidak mampu dihalang penjaga gol Serbia, Miodrag Aksentijevic.
Tidak sampai seminit jaringan tersebut dihasilkan, Iran menambah jaringan kedua menerusi Farhad Fakhim yang bijak menolak masuk hantaran situasi sepakan sudut yang dilakukan Mohammadreza Sangsefidi.
Memasuki minit ke-11, pasukan tangga keenam ranking dunia itu terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain apabila Ahmadi diperintahkan keluar padang susulan kad kuning kedua yang diterimanya.
Namun, kesempatan itu gagal digunakan sepenuhnya Serbia berikutan disiplin tinggi para pemain Iran serta ketangkasan penjaga gol mereka, Alireza Samimi yang menafikan beberapa percubaan berbahaya ke kubunya.
Jaringan yang dinantikan Serbia menjelma pada minit ke-18 setelah Milos Stojkovic menguis masuk bola hasil hantaran Marko Prsic ketika situasi sepakan sudut untuk merapatkan defisit jaringan.
Permainan semakin menarik pada separuh masa kedua dimana aksi lebih bertenaga ditampilkan kedua-dua pasukan.
Ahmad Esmaeilpour mengukuhkan kedudukan buat Iran pada minit ke-37 apabila ketenangannya dalam melakukan percubaan leret berjaya memperdayakan Aksentijevic yang hanya mampu melihat bola menembusi gawangnya.
Enggan menyerah kalah, Serbia sekali lagi cuba merapatkan jurang dengan menghasilkan gol kedua menerusi Dragan Tomic tetapi gol tersebut masih belum mampu untuk menghalang Iran daripada meraih kemenangan pertama.
Aura kemenangan Iran itu turut dikongsi sebuah lagi pasukan dari Asia iaitu Jepun yang mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan Angola 8-4 dalam saingan kumpulan E.
Perlawanan di Klaipeda Arena itu menyaksikan Jepun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan jaringan pada 12 minit awal susulan ketangkasan penjaga gol Angola, Gomito.
Hampir 10 ‘saves’ dilakukan oleh Gomito dalam tempoh tersebut sebelum pemain naturalisasi, Arthur Oliveira akhirnya berjaya memberikan jaringan pendahuluan buat Jepun pada minit ke-13.
Kedudukan berubah menjadi 2-0 berselang seminit kemudian apabila Yuki Murota tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan percubaan susulan selepas sepakan lambung Shota Hoshi yang pada awalnya terkena palang gol.
Angola berjaya merapatkan jurang susulan kesilapan Katsutoshi Henmi yang mengawal bola terlalu lama di kawasan sendiri sekali gus membolehkan Manosele merampas bola dan memberikan ruang kepada Guga untuk menolak masuk bola membolosi gawang Jepun pada minit ke-19.
Ketika aksi babak pertama hanya beberapa saat lagi untuk ditamatkan, Oliveira dengan tenang menyudahkan sepakan percuma di hadapan pintu gol Angola untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Perlawanan di separuh masa kedua lebih menarik untuk diperkatakan apabila lapan gol lagi terhasil dengan lima daripadanya memihak Jepun.
Oliveira juga turut menambah dua lagi jaringan bagi menjadikan empat gol dihasilkannya hanya pada perlawanan ini. Baki jaringan Jepun disumbangkan oleh dua gol daripada Ryuta Hoshi dan Ryosuke Nishitani dengan satu gol.
Manakala tiga gol tambahan buat Angola pula hadir menerusi tambahan satu lagi jaringan daripada Guga, Kaluanda serta gol sendiri dihasilkan Hoshi.