Usaha Jepun untuk melakar kejutan terbesar dalam saingan Piala Dunia Futsal 2021 tidak kesampaian apabila skuad kendalian Bruno Garcia itu tumpas 2-4 kepada juara lima kali, Brazil pada pertemuan pusingan 16, malam tadi.
Brazil bagaimanapun dikejutkan seawal minit keempat perlawanan apabila rembatan kaki kiri dari jarak jauh oleh pemain berpengalaman, Shota Hoshi gagal ditampan dengan baik Guitta sekali gus bola membolosi gawangnya.
Tersentak dengan jaringan tersebut Brazil pantas memperkemaskan aksi dan hanya berselang seminit kemudian, Ferrao menyamakan kedudukan menerusi ‘turning’ cantik yang kemudiannya disudahkan dengan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol Jepun, Higor Pires.
Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat aksi babak pertama dan seperti dijangkakan, Brazil yang dibarisi pemain berkualiti tinggi tampil dengan lebih berbahaya pada separuh masa kedua.
Kekentalan Pires yang beberapa kali berjaya menggagalkan usaha keras Brazil akhirnya hampa selepas Leonardo menjelmakan jaringan pendahuluan pada minit ke-31.
Pito menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-38 susulan hantaran jauh yang terus mencarinya di hadapan gol bagi membolehkan beliau melepasi kawalan Pires dan menolak mudah untuk terus melebarkan kelebihan buat Brazil.
Jepun jelas enggan mengaku kalah dengan mudah pada perlawanan ini apabila Ryosuke Nishitani mengurangkan defisit jaringan menerusi permainan ‘powerplay’ juga pada minit ke-38.
Dalam keghairahan Jepun untuk memburu jaringan penyamaan, Brazil menoktahkan api perjuangan mereka pada minit akhir permainan selepas rembatan Gadeia membias terkena Minami Kato untuk gol keempat sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir buat skuad kendalian Xavier Marquinhos itu.
Sementara itu dalam satu lagi aksi melibatkan wakil dari Asia, Thailand nyata tidak mampu untuk menyaingi pasukan di tangga ketujuh ranking futsal dunia, Kazakhstan apabila tumbang dengan tujuh gol tanpa balas.
Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama susulan jaringan Dauren Tursagulov, Douglas Junior dan gol sendiri Chaivat Jamgrajang, Thailand menggunakan taktikal ‘powerplay’ sejak dari awal separuh masa kedua.
Namun, ia nyata memakan diri sendiri apabila Kazakhstan menambah empat lagi jaringan berikutan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan pemain Thailand dalam usaha mereka untuk mendapatkan jaringan.
Taynan da Silva, Dauren Nurghozin, Arnold Knaub dan penjaga gol, Leo Higuita melengkapkan kemenangan bergaya buat Kazakhstan bagi menanti pemenang antara Iran dan Uzbekistan yang akan beraksi pada malam ini.