Kemaraan Vietnam dalam saingan Piala Dunia Futsal 2021 terhenti di pusingan 16 selepas tewas 2-3 bertemu RFU [Russian Football Union] pada aksi yang berlangsung di Vilnius Arena, Lithuania malam tadi.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada barisan anak buah Pham Giang Minh yang telah mempamerkan semangat juang tinggi hingga ke saat terakhir permainan.

Tambahan pula, RFU hadir dengan reputasi hebat selaku naib juara edisi 2019 di Colombia dan turut menghuni tangga keempat ranking futsal dunia pada ketika ini serta memiliki himpunan pemain berkualiti tinggi.

Skuad kendalian Sergey Skorovich itu membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas Robinho menyudahkan dengan baik gerakan ‘satu dua’ cantik beliau bersama Andrei Afanasev.

RFU mengukuhkan kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-18 apabila sepakan kaki kanan daripada Ivan Cishkala setelah menerima hantaran Robinho berjaya menewaskan penjaga gol, Ho Van Y.

Tidak sampai seminit jaringan itu terhasil, Vietnam bangkit merapatkan defisit jaringan menerusi Nguyen Duc Huy yang menanduk masuk bola susulan umpanan cantik juga hasil tandukan daripada Nhan Gia Hung.

Cishkala kemudiannya sekali lagi melebarkan kedudukan buat RFU menerusi percubaan dari sudut sukar pada minit ke-30 yang menjadikan gol kelima peribadi buatnya dalam saingan kali ini.

Tidak mahu menjadi mangsa belasahan lawan dari Eropah itu, Vietnam tampil dengan lebih kemas dan menggunakan taktikal ‘Powerplay’ ketika perlawanna berbaki lapan minit untuk ditamatkan.

Langkah itu nyata membuahkan hasil selepas Pham Duc Hoa berupaya mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-39 tetapi usaha mereka selepas itu tidak mampu untuk kembali mengikat kedudukan.

Dengan keputusan tersebut, skuad futsal Vietnam telah mengulangi pencapaian lima tahun lalu apabila turut tumpas di pusingan 16 dan lebih menarik mereka turut berhadapan dengan lawan yang sama. Namun apa yang membanggakan, keputusan kali ini nyata jauh lebih baik kerana edisi 2016 menyaksikan Vietnam dibelasah teruk 0-7.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Meninjau Perjalanan Wakil Asia Pada Pusingan 16

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Ulangi Pencapaian 2016, Mara Ke Pusingan 16

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16