Hasrat untuk melihat Malaysia menjulang piala Pestabola Merdeka 2023 tidak kesampaian selepas skuad Harimau Malaya tumpas 0-2 ditangan Tajikistan pada aksi final yang berlangsung Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad negara ketika berdepan Tajikistan yang turut menggagalkan impian Malaysia untuk menjuarai King’s Cup 2022.

Memburu piala sulung bersama Malaysia, Kim Pan Gon melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan membariskan Brendan Gan dan Safawi Rasid untuk merehatkan Nooa Laine serta Akhyar Rashid.

Namun, laluan tersebut nyata bukan perkara mudah kerana barisan pemain Tajikistan yang diketuai Umarbaev Parvizdzhov tampil dengan cukup baik.

Ia juga turut memperlihatkan kesukaran buat pemain sayap negara untuk memecah masuk kawasan penalti pasukan ranking ke-110 dunia itu.

Tajikistan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Shukurov Alisher, namun rembatannya dalam kawasan penalti ketika beliau tidak dikawal pertahanan Malaysia diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Malaysia kemudiannya memperkemaskan aksi dan mendapat beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.

Namun, ia mudah buat penjaga gol, Barotov Daler yang menyelamatkan rembatan menerusi sepakan percuma Safawi Rasid, percubaan luar kawasan penalti Brendan Gan dan Arif Aiman Mohd Hanapi.

Malaysia tersentak pada minit ke-44 selepas Soirov Rustam yang melakukan larian melepasi pertahanan skuad negara untuk menerima lorongan baik rakan sepasukannya tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang untuk membuka tirai jaringan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia mendapat peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada masa kecederaan tetapi tandukan Matthew Davies susulan sepakan percuma dinafikan Barotov.

Memasuki babak kedua, skuad negara menggandakan asakan dengan mencipta beberapa peluang baik untuk menyamakan kedudukan.

Peluang terbaik dimiliki pada minit ke-49 menerusi Brendan Gan, bagaimanapun tandukannya setelah menerima hantaran sepakan penjuru sekadar melewati palang gol.

Ketika skuad negara berhempas-pulas dengan serangan bertubi-tubi dilancarkan ke kubu Tajikistan, salah faham Dominic Tan dan Ahmad Syihan di kawasan sendiri telah memberikan ruang buat Samiev Shahrom menambah gol kedua pada minit ke-88.

Dua jaringan yang jelas sukar dikejar oleh barisan pemain negara untuk mengesahkan kejuaraan edisi kali ini menjadi milik Tajikistan.