Tuah sepakan penalti tidak memihak skuad Malaysia pada aksi final 48th King’s Cup 2022 apabila tunduk 0-3 ditangan Tajikistan selepas aksi sebenar 90 minit perlawanan terikat tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand, sebentar tadi.

Beraksi di permukaan padang basah jelas sedikit merencatkan corak permainan kedua-dua pasukan yang agak bergelut untuk mencipta gerakan berbahaya ke kubu lawan masing-masing.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kelihatan lebih banyak mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan pada babak pertama tetapi penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka.

Aksi lebih tersusun dapat disaksikan pada babak kedua dengan Safawi Rasid melakukan rembatan dari luar kawasan penalti. Percubaan tersebut bagaimanapun ditepis keluar penjaga gol, Rustam Yatimov pada minit ke-57.

Tajikistan yang berada di kedudukan ke-109 ranking dunia kemudiannya kelihatan cukup berbahaya di depan gol Malaysia dengan tiga percubaan tepat dijelmakan.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Namun, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di gawang skuad negara meneruskan kecemerlangan dalam menafikan tiga percubaan jarak jauh yang cukup menarik diledakkan oleh Mukhammadzhon Rakhimov, Ekhson Pandzhshanbe dan Manuchekhr Safarov.

Anak buah Petar Segrt berpeluang untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-84 tetapi jaringan Rustam Soirov dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Ketumpulan penyudah itu menyebabkan pemenang edisi ke-48 ini terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kegagalan Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti jelas menghampakan untuk kejuaraan menjadi milik negara Asia Tengah itu walaupun Ahmad Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan pertama Akhtam Nazarov.

Sementara itu, Thailand menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Trinidad & Tobago 2-1 hasil jaringan Channarong Promsrikaew dan Suphacok Sarachart.

Sepakan Penalti

Tajikistan

  1. Akhtam Nazarov – Diselamatkan Ahmad Syihan
  2. Vakhdat Khanonov – Gol
  3. Komron Torsunov – Gol
  4. Rustam Soirov – Gol

Malaysia

  1. Dion Cools – Diselamatkan Rustam Yatimov
  2. Nazmi Faiz Mansor – Diselamatkan Rustam Yatimov
  3. Safawi Rasid – Terkena palang gol