Kekalahan 0-1 ditangan Thailand pada aksi kelayakan di Chonburi sebentar tadi menyaksikan skuad Malaysia perlu menunggu keputusan perlawanan lain untuk mengetahui sama ada dapat mara ke Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) 2024 atau tidak.
Sekiranya melihatkan kedudukan terkini, anak buah E. Elavarasan masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan akhir yang bakal berlangsung di Qatar pada tahun hadapan itu selaku salah satu daripada empat pasukan tangga kedua terbaik.
Aksi yang ditampilkan pemain negara pada aksi terakhir bertemu Thailand itu bagaimanapun jelas menimbulkan keraguan buat para peminat bola sepak tanah air.
Hal ini kerana mereka kelihatan bergelut sepanjang perlawanan untuk mempamerkan corak permainan terbaik yang menyaksikan tiada serangan berbahaya dapat dilancarkan ke kubu tuan rumah.
Namun, Nooa Laine terlebih dahulu menguji gawang lawan pada minit ke-10 tetapi rembatannya dari luar kawasan penalti tersasar di sebelah kanan pintu gol Thailand.
Selepas itu memperlihatkan penguasaan ditampilkan Thailand yang berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Yotsakon Burapha pada minit ke-20.
Yotsakon melakukan tandukan yang menewaskan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel setelah menerima hantaran lintang kemas daripada Phongsakon Trisat.
Kesilapan pertahanan skuad negara hampir dihukum pada minit ke-56 tetapi percubaan leret Channarong Promsrikaew ditepis keluar Sikh Izhan.
Para pemain Malaysia cuba untuk memberikan tekanan pada lewat permainan tetapi jentera pertahanan Thailand kental bertahan untuk mengekalkan kedudukan tersebut untuk mengungguli kumpulan H.