Penyerang muda negara yang berkelana ke Iceland, Luqman Hakim Shamsudin terus memberikan sumbangan berkesan buat Njardvik FC selepas membantu kelab tersebut menewaskan KFA 4-1, semalam.
Baca Juga:
- Ini Alasan Luqman Hakim Tak Dapat Sertai Sukan SEA 2023
- VIDEO: Rangkuman ‘Debut’ Luqman Hakim Bersama Njardvík
- Luqman Hakim Jaringkan Gol Bersama Njardvík
Jaringan tersebut hadir pada pusingan 32 saingan Piala Bola Sepak Iceland yang menyaksikan kelima-lima gol terhasil di babak kedua.
Gol pembukaan Njardvik menjelma pada minit ke-60 menerusi Marc McAusland dan beliau menambah gol kedua berselang tujuh minit kemudian.
Marteinn Már Sverrisson cuba merapatkan jurang ketika permainan memasuki minit ke-86 tetapi kegembiraan pasukan itu hanya mampu bertahan selama dua minit selepas Oumar Diouck menjaringkan gol ketiga buat Nardvik.
Luqman yang masuk sebagai pemain gantian tidak mahu melepaskan peluang untuk turut meletakkan nama selaku penjaring pada masa kecederaan sekali gus memastikan kemaraan buat Njardvik ke pusingan 16.
Keadaan itu memberikan gambaran cukup jelas bahawa Luqman pada ketika ini cukup selesa untuk memberikan segala yang termampu dalam usaha membuktikan kredibiliti beliau sepanjang di sana.
Sebelum ini, Luqman turut membantu pasukannya dengan mencipta bantuan jaringan dalam satu lagi aksi piala ketika menentang Augnablik.
Manakala ketika aksi persahabatan, anak kelahiran Kota Bahru itu berjaya menjaringkan gol ketika menentang Reykjavíkur (satu gol) dan Haukar FC (dua gol).
Untuk makluman, Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk selama satu musim dan beliau berazam untuk meraih sebanyak mungkin minit permainan bersama kelab baharunya itu.