Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super 2023 menjadi milik mereka selepas menewaskan PDRM 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kemenangan penting yang dilakarkan itu juga merupakan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dilakarkan oleh gergasi bola sepak tanah air tersebut.

Satu rekod luar biasa yang jelas amat sukar untuk diatasi atau disamai oleh mana-mana pasukan dalam saingan liga domestik.

JDT bagaimanapun sedikit tertekan pada permulaan aksi ke-22 ini selepas PDRM yang dibimbing Datuk Yunus Aliff menerapkan corak permainan bertahan.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain JDT kelihatan bergelut untuk membelah barisan pertahanan pasukan pelawat terutamanya pada 35 minit awal.

Namun, selepas jaringan Bergson da Silva dibatalkan selepas beliau berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-36, segalanya berubah dan menjadi mudah buat skuad kendalian Esteban Solari itu.

Hanya selepas seminit beliau kecewa jaringan tersebut tidak diiktiraf pengadil, Bergson kemudiannya membuka tirai jaringan menerusi percubaan dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol PDRM, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan api perjuangan tuan rumah dan hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menambah gol kedua.

Bermula daripada hantaran lintang Matthew Davies yang melakukan larian di sebelah kiri pintu gol lawan telah memberikan ruang buat Juan Muniz untuk melepaskan rembatan voli bagi membolosi Ramdhan.

Jaringan ketiga JDT hadir pada minit ke-54 selepas Arif Aiman Mohd Hanapi mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas beliau sebelum itu dikasari Alif Naquiddin Mohd Shouffi.

JDT yang terus bernafsu mengancam gawang PDRM mengukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-57 menerusi Fernando Forestieri.

Forestieri berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menerima hantaran jauh Heberty Fernandes yang kemudiannya disudahkan dengan rembatan leret untuk menjadikan kedudukan 4-0.