Sabah gagal meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Piala AFC 2023/24 selepas tunduk kepada Hai Phong 2-3 pada aksi yang berlangsung di Lach Tray Stadium sebentar tadi.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak mengusik kedudukan Sabah untuk terus kekal ditangga teratas dengan kelebihan perbezaan jaringan berbanding wakil Vietnam itu.
Anak buah Ong Kim Swee itu hampir berada di depan pada minit kesembilan tetapi percubaan Gabriel Peres ketika situasi sepakan percuma berjaya diselamatkan pemain pertahanan, Dang Vai Tong.
Tersentak dengan tekanan tersebut, tuan rumah memperbaiki corak permainan dan mendapat peluang pada minit ke-13.
Namun, sepakan penjuru Nguyen Huu Son yang melencong ke arah pintu gol Sabah dinafikan penjaga gol, Damien Lim.
Kehampaan itu ditebus Huu Son berselang seminit kemudian apabila hantaran jauh cuba dilakukannya berjaya memperdayakan Damien sekali gus memberikan gol pembukaan buat Hai Phong.
Damien sekali lagi hampa berselang empat minit kemudian setelah beliau gagal menyelamatkan percubaan jarak jauh dilakukan Dam Tien Dung untuk kedudukan 2-0 memihak skuad kendalian Chu Dinh Nghiem.
Memasuki babak kedua, aksi lebih menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dimana tiga jaringan terhasil pada 45 minit seterusnya.
Sabah merapatkan jurang pada minit ke-71 selepas Ramon Machado menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Darren Lok.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama seminit apabila Tien Dung dengan tenang menyempurnakan peluang terhidang dalam kawasan penalti susulan ‘cutback’ daripada Huu Son.
Pemain gantian Sabah, Gary Steven Robbat menghidupkan sisa peluang buat pasukan pelawat pada minit ke-80 selepas ledakan padunya daripada luar kawasan penalti hanya mampu dipandang penjaga gol Hai Phong, Nguyen Dinh Trieu.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Sabah untuk bangkit mendapatkan jaringan penyamaan tetapi barisan pemain Hai Phong kental bertahan untuk mengekalkan kelebihan dimiliki.