Pemain sayap Sabah FC yang berasal dari Indonesia, Saddil Ramdani meluahkan kemarahannya di laman instagram apabila tidak puas hati terhadap kritikan yang dilemparkan oleh para penyokong negara jiran.

Baca Juga:

Malah, beliau juga sering menjadi mangsa kecaman ketika beraksi bersama skuad kebangsaan selepas sempat diturunkan pada separuh masa kedua ketika menentang Palestin minggu lepas.

Saddil juga mengakui semangatnya semakin luntur apabila membaca komen-komen yang mengkritik keputusan beliau beraksi di Malaysia berbanding berkelana di eropah, Jepun dan Korea Selatan.

Menurutnya, bukan senang beraksi di Liga Malaysia kerana tahap kualiti pertandingan berbeza sentiasa menguji mentalnya dan menuntut beliau melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Kalian ingat main Liga Malaysia biasa saja? Sudah berapa orang (pemain indonesia) yang pulang dan tidak sanggup main di sini kerana tuntutan dan segala macam.

“Kalau tidak percaya, silalah cuba dan berharap ada pemain lain lagi main di sini. Cuba kalian teka senang ke nak menyesuaikan diri di sini?

“Memang kalian fikir di sini tidak susah setengah mati untuk menyesuaikan diri. Kalian hanya buat mental dan fikiran pemain selalu ‘down’.

“Kalau tiada yang baik nak komen, lebih baik tutup mulut tu” tulis Saddil.

Saddil juga berterima kasih kepada bekas ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto yang membawa masuk beliau kembali ke Liga Malaysia pada musim 2021 selepas dilepaskan oleh Bhayangkara.

Instagram story Saddil Ramdani

Beliau sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Pahang pada musim 2019. Saddil juga tidak berpuas hati dengan sikap netizen Indonesia yang sering membandingkan pasukannya dengan JDT.

“Gak usah bandingkan dengan JDT. Dia tidak setaraf dengan pasukan negara kita mahupun di sini. Ya, tidak usah komen tentang itu,” tambah Saddil.

Berdasarkan rekod, Saddil setakat ini beraksi dalam 10 perlawanan Liga Super musim ini dan telah menjaringkan 5 gol serta 4 bantuan gol.