Skuad Sabah tekad meneruskan rentak kemenangan apabila bakal berdepan kelab Vietnam, Hai Phong FC pada aksi ketiga Kumpulan H Piala AFC di Stadium Lach Tray jam 6 petang ini.

Malah, mereka berpeluang menjadi antara pasukan awal raih tiket ke pusingag seterusnya jika berjaya menewaskan Hai Phong sekaligus mengutip 9 mata penuh dalam 3 perlawanan yang diharungi.

Berdasarkan prestasi dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad Sang Badak menewaskan kelab Singapura, Hougang United 3-1 dan juara Liga Indonesia, PSM Makassar 5-0.

Namun begitu, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu pemainnya mengambil mudah terhadap cabaran Hai Phong walaupun hadir dengan reputasi selaku pendahulu kumpulan.

Menurut Kim Swee, mereka perlu kekal fokus memandangkan naib juara Liga Vietnam itu pasti sudah mengkaji setiap kelemahan dan kekuatan pasukannya.

“Saya tidak fikir bahawa kami sahaja mengkaji permainan Hai Phong, saya percaya mereka juga menganalisa corak pemainan kami.

“Jadi, paling penting adalah kekalkan fokus untuk perlawanan esok bagi memastikan kami bermain mengikut perancangan dan berharap kami dapat keputusan positif.

“Sudah pasti Hai Pong juga pasukan pilihan, mereka mahu bangkit selepas kalah aksi sebelum ini dan perlawanan esok bukan mudah bagi kami,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Hai Phong bukan lawan yang mudah dan mereka pasti mahu bangkit selepas tewas 1-2 kepada Hougang United pada minggu lalu.

Penyerang import Hai Phong dari Uganda, Joseph Mpande yang kini sudah meledak 23 gol menegaskan pasukannya amat memerlukan kemenangan untuk membuka peluang mara peringkat seterusnya.

“Sabah pasukan yang bagus dengan mereka menang dua perlawanan awal. Tetapi kami ada peluang untuk menang terutama bermain di halaman sendiri. Jika menang, ia membuka peluang besar untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya.