Skuad Sabah meneruskan rentak kemenangan apabila berpesta gol membelasah kelab Indonesia, PSM Makassar 5-0 pada aksi kedua peringkat kumpulan Piala AFC 2023/24 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali.
Baca Juga:
- Piala AFC 2023/24: Sabah Enggan Pulang Dengan Tangan Kosong
- Piala AFC 2023/24: Sabah Bermula Baik Atasi Hougang United
- Kapten Hougang United Akui Pemain Sabah Lebih Berkualiti
Pesta gol Sabah bermula seawal minit ke 6 apabila penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok menanduk masuk gol pertama menerusi satu serangan pantas.
Pemain tengah import Sabah, Cifuentes turut mempunyai beberapa peluang untuk menambah gol kedua namun semua percubaannya tersasar.
PSM Makassar cuba bangkit tetapi mereka sukar menembusi benteng pertahanan Sabah yang dikawal ketat oleh gandingan Dominic Tan dan Park Tae Su.
Pada minit ke 36, Gabriel Peres menanduk masuk gol kedua hasil hantaran cantik daripada pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani dari sebelah kiri. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaik sahaja pengadil meniup wirsel tanda sepak mula separuh masa kedua, Sabah terus melancarkan serangan dan berjaya menambah gol ketiga menerusi tolakan Darren Lok hasil hantaran Saddil Ramdani pada minit ke 46.
3️⃣ goals in 2️⃣ games
Darren Lok is on hot form 🔥 #AFCCup | #PSMvSAB pic.twitter.com/bfJIlxvxfw
— #AFCCup (@AFCCup) October 5, 2023
Jaringan tersebut sekaligus melemahkan semangat pemain PSM Makassar yang jelas tiada idea untuk menembusi benteng pertahanan Sabah. Mereka juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Reza Arya dilayangkan kad merah.
Pada minit ke 72, giliran Stuart Wilkin mencatat nama sebagai penjaring apabila sepakan percumanya mudah menewaskan penjaga gol simpanan PSM Makassar.
Sabah terus bernafsu memburu jaringan dan sepatutnya mendapat dua lagi gol namun ia dibatalkan oleh pengadil kerana berada di kedudukan ‘offside’.
Bagaimanapun, pemain gantian Sabah, Farhan Abu Bakar terus menambah gol kelima selepas menyudahkan hantaran Cifuentes yang membuat larian pantas dari sebelah kanan. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu sekaligus menaikkan kedudukan Sabah di tangga pertama kumpulan H dengan 6 mata dan hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan pencabar terdekat dari Singapura, Hougang United yang berada di kedudukan kedua.