Bintang Ultimate Fighting Championship (UFC), Conor McGregor  kini menyatakan hasrat untuk membeli Manchester United selepas peletakan jawatan mengejut Ed Woodward sebagai naib pengerusi eksekutif kelab itu.

Woodward meletak jawatan sebaik sahaja Manchester United menarik diri daripada menyertai Liga Super Eropah (ESL). Beliau dilaporkan agak kecewa dengan tindakan kelab yang memilih untuk tidak menyertai ESL.

Woodward berkhidmat untuk United sejak 2005 dan menjawat jawatan yang beliau ada sekarang sejak 2012. Peletakan jawatan beliau telah menyebabkan harga saham The Red Devils jatuh teruk di sebalik masalah melanda ESL.

Susulan itu, McGregor mahu jadi penyelamat dan mula menunjukkan minat untuk membeli United lalu bertanya kepada peminat melalui laman twitternya.

Bintang Ireland itu menulis: “Hai semua, saya memikirkan untuk membeli Manchester United! Apa yang anda fikirkan?”

McGregor sememangnya sangat meminati sukan bola sepak kerana beliau pernah membentuk sebuah kelab bola sepak amatur di Dublin yang bernama Black Forge FC.

Beliau juga mempunyai pengalaman bermain bola sepak bersama kelab Slieveamon United dan Yellowstone Celtic yang tampil di United Churches League serta Leinster Football League.

Sebelum ini, beliau secara terbuka mengakui dirinya adalah peminat setia kelab Manchester United.

“Saya tertarik dengan kejayaan dan mentaliti Manchester United. Roy Keane adalah seorang pemain tengah yang paling terbaik pernah disaksikan. Mental pemain lawan sentiasa diuji sebelum mereka melangkah ke padang untuk berdepan beliau,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah. 

RASMI: Kesemua 6 Pasukan EPL Tarik Diri Daripada ESL

Tiada Kelibat Messi Dan Ronaldo Dalam Piala Dunia Jika Mereka Sertai Liga Super Eropah

Florentino Perez: Liga Super Eropah Akan Selamatkan Bola Sepak