Manchester United terus mengalami hari yang suram di Old Trafford dengan kekalahan 0-3 di tangan Newcastle dalam aksi Piala Carabao.

Newcastle malah tidak menurunkan skuad terkuat mereka dalam perlawanan ini kerana terpaksa melakukan penggiliran skuad. Mereka juga kehilangan khidmat Sandro Tonali yang rasmi menjalani penggantungan jangka panjang.

Usaha United mempertahankan trofi tersebut berakhir di pusingan ke-16 di tangan Newcastle United yang ternyata tampil dengan aksi lebih tajam di hadapan gol.

United yang masih lagi terluka dengan kekalahan 0-3 di tangan jiran mereka Man City hujung minggu lalu, sekali lagi dimalukan dengan kekalahan dengan keputusan yang sama di Old Trafford.

Andre Onana yang sebelum ini dilaporkan menjadi pemain United paling terkesan dengan ketidakselesaan dengan jersi terlalu ketat, telah memakai jersi replika sejak kekalahan menentang Spurs, kali ini terus malang.

Dia dibolosi 3 kali sekali lagi dalam 2 malam berturut turut aksi di Old Trafford.

Pemain gantian, Almiron dan juga Lewis Hall meletakkan Newcastle 2 gol di hadapan pada separuh masa pertama. Sementara Joe Willock memastikan Newcastle membalas dendam kekalahan mereka di tangan Man United pada aksi final Piala Carabao edisi musim lalu.

Di Old Trafford kelihatan ramai peminat mulai mengosongkan tempat duduk mereka selepas minit ke-60. Peminat benar benar kecewa dengan prestasi pasukan yang masih tidak memuaskan.

Setakat ini, selepas 15 perlawanan dalam semua pertandingan, Man United sudah kalah 8 kali. Ianya angka yang sangat merisaukan.

Kekalahan United di tangan Newcastle ini jelas sekali memberikan tekanan kepada Erik Ten Hag. Di mana sudah ada suara suara yang mulai melancarkan kempen Ten Hag Out. Namun legenda kelab, Gary Neville yakin Ten Hag masih orang yang tepat menjadi pengurus United.