Penularan wabak pandemik COVID-19 di Indonesia ternyata telah memberi kesan yang buruk kepada perjalanan liga domestik di negara itu.
Ketika liga lain sekitar negara Asia kembali berjalan sejak bulan lalu, namun Indonesia berdepan masalah besar untuk meneruskan pertandingan mereka.
Saingan Shopee Liga 1 yang sepatutnya kembali bersambung pada 1 November 2020 namun ia sekali lagi terpaksa ditunda sehingga awal Februari 2021.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua pengarah Liga Indonesia, Akhmad Hadian Lukita selepas selesai bermesyuarat bersama Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).
Menurut Akhmad Hadian, bulan Februari 2021 merupakan bulan paling ‘aman’ untuk melangsungkan perlawanan bola sepak kerana bulan Disember 2020 terdapat pilihanraya pemilihan ketua daerah (PILKADA) manakala bulan Januari 2021 tidak dapat dipastikan keadaannya.
“Ya, kami berhubung dengan PSSI untuk melihat perkembangan semasa. November ini belum dapat kebenaran daripada pihak polis (POLRI). Kemungkinan liga tidak berjalan.
“Disember juga mungkin tidak berlangsung kerana ada PILKADA dan tahun baru. Januari 2021 nanti kita lihat bagaimana perkembangannya. Tetapi paling aman bulan Februari 2021,” jelasnya.
PSSI Awal Oktober kemarin : Liga November atau Desember atau Januari.
Exco rapat semalem : sepakat untuk menunda lanjutan Liga 1 2020 hingga Februari 2021
Wes angel, angel wes pic.twitter.com/NvWWwu9osT
— Info Suporter Indonesia (@InfosuporterID) October 29, 2020
Mereka juga akan mengadakan perbincangan dengan semua kelab-kelab yang bertanding kerana keputusan penangguhan liga ini turut melibatkan kontrak dan kebajikan pemain.
“Perkara ini akan dibawa pada minggu depan bersama jawatankuasa liga dan PSSI termasuk mendapatkan input daripada kelab-kelab yang bertanding. Kita harus menjaga kelab dan pemain ini kerana ia turut melibatkan kontrak dan penajaan,” tambahnya.
Sebelum ini, sebuah kelab Liga 1, Persiraja Banda Aceh mempertimbangkan untuk tarik diri jika hala tuju saingan liga musim ini belum dapat ditentukan dengan jelas.
“Kita beri masa kepada PT.LIB atau PSSI, untuk buat keputusan, ia harus jelas, liga diteruskan atau dibubarkan.
“Kalau sampai November pun masih belum ada kepastian, maka kalau liga ini bersambung pada bulan Disember, kita (Persiraja) tidak akan sertainya. Jadi, kami akan beri masa kepada PSSI untuk buat keputusan,” kata Presiden Persiraja, Nazaruddin.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Thai League Terima Kelulusan Untuk Penonton Masuk Ke Stadium Sehingga 50% Kapasiti Venue
Dang Van Lam Bakal Ditendang Jika Muangthong United Dapatkan Kawin Thamsatchanan