Kejutan datang dari saingan Liga 1 Indonesia apabila salah satu kelabnya, RANS Cilegon berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain Barcelona dan AC Milan iaitu Ronaldinho.

Perkara ini diumumkan oleh RANS sendiri menerusi laman media sosial rasmi pasukan dan Ronaldinho turut memuat naik video yang menyatakan beliau akan datang ke Indonesia dalam masa terdekat.

Akan tetapi, Ronaldinho hanya akan beraksi dalam saingan kejohanan amal iaitu Piala Trofeo yang akan disertai RANS, Arema, Persis Solo dan Persija Jakarta.

Pengerusi RANS, Rudy Salim berkata tujuan kelab mendatangkan pemenang Piala Dunia 2002 itu adalah untuk menyemarakkan lagi kecintaan peminat terhadap saingan bola sepak domestik selain memberi semangat kepada pemain yang akan beraksi bagi saingan musim 2022/2023.

“Beliau akan hadir ke Indonesia pada sidang media pelancaran kelab yang akan melalui proses revolusi dan akan ada pergantian nama. Akan ada acara seperti kejohanan amal dan nantinya dana yang terkumpul akan digunakan untuk memajukan bola sepak nasional, sama seperti arahan yang dikeluarkan oleh Persatuan Sepak Bola Selurub Indonesia (PSSI) dan Kementrian Belia dan Sukan (Menpora),” kata Rudy.

Seorang lagi pengerusi kelab yang juga selebriti tempatan, Raffi Ahmad berharap dengan adanya Ronaldinho, kelab akan mendapat lebih banyak penaja sekaligus mengumpul dana bagi mengikat bintang berusia 42 tahun itu.

“Harapnya penaja akan semakin banyak dan mungkin kita boleh mengikat dia dengan kontrak tiga atau enam bulan,” katanya.

RANS Cilegon layak untuk beraksi dalam saingan Liga 1 musim hadapan setelah muncul naib juara dalam saingan Liga 2 musim ini.

Selain mereka, dua lagi kelab turut mengesahkan tempat di saingan divisyen pertama liga bola sepak Indonesia iaitu Persis Solo yang muncul juara Liga 2 dan Dewa United yang menduduki tangga ketiga.

Sebelum ini, RANS dikhabarkan mahu mendapatkan khidmat bekas pemain Arsenal dan skuad kebangsaan Jerman, Mesut Ozil namun tiada perkembangan lanjut mengenai berita tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Kelayakan Piala Dunia 2022: Vietnam Berjaya Ikat Jepun 1-1

Zaquan Adha Pertahan Aidil Zafuan, “Bila Dah Kalah Sanggup Edit Muka”

Nizaruddin Yusof Berpendapat Tiga Pemain Ini Perlu Ada Dalam Skuad Kebangsaan