Tugasan sebagai kitman di sesebuah kelab bola sepak mungkin tidak popular berbanding pemain atau jurulatih yang semestinya lebih mendapat perhatian umum.

Keadaan itu nyata bukanlah perkara asing kerana tugasan mereka bersifat di belakang tabir tetapi peranan yang dimainkan insan bergelar kitman ini amat besar dalam menjayakan perjalanan sesebuah pasukan.

Mari kita ketahui serba sedikit tentang peranan penting kitman dalam melancarkan perjalanan sesebuah pasukan dikongsikan bekas kitman pasukan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dan Perak II yang kini bersama skuad Liga Super Perak, Mohd Suhaimi Mohd Abidin serta kitman Piala Presiden Perak, Helmi Ahmad.

Kitman
Suhaimi ketika bersama PKNP FC.

Apa peranan yang dimainkan oleh kitman

Antara peranan penting yang dimainkan oleh kitman ialah dalam penyediaan barangan  bermula daripada sesi latihan sehingga ke tamat satu-satu perlawanan dilalui oleh pasukan tersebut.

Ia meliputi aspek dalam menyediakan minuman serta kelengkapan dan peralatan yang diperlukan oleh jurulatih ketika sesi latihan.

Perkara ini sudah pastinya menjadikan kitman sebagai orang pertama yang akan turun ke padang latihan bagi tujuan memastikan semua barangan diperlukan oleh pemain dan pasukan mencukupi dan individu terakhir meninggalkan padang.

Bagi menghadapi perlawanan pula, kitman perlu menyediakan dua set jersi untuk persalinan pemain serta pelapik (shinpad), strapping tape dan juga minuman serta makanan yang perlu diambil sebelum dan ketika perlawanan.

Kitman juga perlu fokus terhadap barisan kesebelasan utama pasukan bagi memudahkan mereka untuk menyusun jersi mengikut turutan nombor jersi serta menyediakan lilitan kapten dan cenderahati buat ketua pasukan.

Selain itu, sekiranya beraksi di laman sendiri, kitman juga bertanggungjawab dalam menyediakan air minuman dan ais batu untuk pasukan lawan, petugas-petugas stadium, barisan pengadil bertugas dan ‘budak milo’.

Tugasan mereka bukan sahaja daripada aspek penyediaan barangan sahaja, malah ketika sesi perjumpaan di hotel penginapan juga kitman perlu menyusun meja untuk tujuan perbincangan pasukan.

Setiap peralatan yang dimiliki oleh pasukan jelas menjadi amanah buat kitman untuk menjaga dan memastikan barangan yang diperlukan dalam satu-satu masa dapat diberikan tanpa sebarang masalah.

Memang tiada sesiapa selain kitman yang akan mengambil tahu tentang peralatan atau keperluan tersebut.

Kebiasaannya dengan mengambil contoh saingan Liga Super dan Liga Premier, akan terdapat dua orang kitman yang ditugaskan menjawat tanggungjawab tersebut bagi sesebuah pasukan.

Helmi Ahmad
Helmi melakukan tugasannya ketika Perak berkunjung ke Korea Selatan bagi menghadapi Ulsan Hyundai dalam Kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2019.

Cabaran yang dihadapi kitman

Selain daripada kerisauan tertinggal barangan yang diperlukan atau kesilapan membawa jersi pasukan, konsisten untuk melakukan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab menjadi cabaran utama buat kitman.

Mereka perlu untuk menepati masa serta jujur dalam melakukan tugasan terutamanya ketika sesi latihan kerana tugasan selaku kitman ini bergantung kepada jadual ditetapkan jurulatih. Ada ketika ianya berubah mengikut kesesuaian.

Hal ini kerana kitman perlu menjadi individu pertama yang akan berada di padang latihan dan juga stadium ketika hari perlawanan untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

Mungkin kadangkala pasukan akan lebih menjadi keutamaan berbanding keluarga di rumah. Pengorbanan besar buat seorang kitman yang mungkin tidak ramai orang memahaminya.

Penutup

Jelas sekali, peranan yang dimainkan oleh kitman dalam melancarkan perjalanan pasukan nyata begitu bermakna.

Dengan dedikasi dan semangat tinggi serta ketepatan waktu yang menjadi ‘aset’ utama buat mereka, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kitman dalam bola sepak merupakan kunci kepada penyelarasan pengurusan sesebuah pasukan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Antonio Rudiger Tepis Dakwaan Sebabkan Lampard Dipecat

Bhayangkara FC Setuju Lepaskan Saddil Ramdani Ke Sabah FC

Bekas Presiden FAP Mahu Penang FC Contohi Kejayaan Liverpool Tamatkan Kemarau Kejuaraan Liga