Pertahanan tengah Chelsea, Antonio Rudiger dengan tegas menepis dakwaan yang mengatakan beliau merupakan antara dalang menyebabkan pengendali terdahulu, Frank Lampard dipecat pada 25 Januari lalu.

Lampard menerima nasib sama seperti Jose Mourinho dan pengurus-pengurus Chelsea sebelum ini berikutan prestasi hambar skuad bimbingannya yang tewas lima daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beliau kemudiannya digantikan dengan bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel yang sudah pun menikmati dua perlawanan bersama The Blues.

Susulan dengan perkembangan tersebut, nama Rudiger disebut-sebut sebagai punca kepada keputusan diambil pengurusan tertinggi Chelsea untuk memecat Lampard.

Hal ini kerana pemain kelahiran Jerman itu tidak menjadi pilihan Lampard dan hanya membuat enam penampilan dalam kempen EPL, selebihnya sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Terdapat banyak khabar angin yang tidak masuk akal tentang saya sejak minggu lalu,” ujar Rudiger menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Saya tidak pernah bercakap dengan Ahli Lembaga Pengarah tentang situasi jurulatih [Lampard] atau mana-mana topik berkenaan pasukan.”

“Frank Lampard mempercayai kebolehan saya selepas Krismas dalam situasi yang cukup sukar dan saya amat bersyukur dengan keadaan ini.”

“Ia juga merupakan sebab utama saya mengatakan kepada ejen saya supaya tidak mencari pasukan baharu pada jendela perpindahan musim sejuk.”

“Kami sentiasa menginginkan yang terbaik buat pengurus dan pasukan ini,” tambah Antonio Rudiger lagi.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

FA Thailand Jalin Kerjasama Dengan FA UAE Kembangkan Industri Bola Sepak

UAE Jadi Pilihan Sebagai Tuan Rumah Kelayakan Piala Dunia 2022

Ole Gunnar Solskjaer: Ini Adalah Malam Yang Perlu Diraikan

 

Sumber