Tanggal 4 Disember 2004 menjadi sejarah buat bola sepak Perlis apabila lontaran jauh dilakukan Adrien Jurad Chamrong tanpa disangka-sangka gagal dihalang penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia pertama skuad Singa Utara itu.
Pengakhiran sebuah penantian selama 83 tahun yang cukup menarik untuk diperkatakan kerana buat pertama kalinya jaringan kemenangan terhasil menerusi lontaran padu sedemikian rupa.
Nostalgia hampir 17 tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil itu pasti menjadi antara perkara yang membuatkan sebahagian besar peminat bola sepak tanah air tidak akan melupakan kelibat Jurad Chamrong.
Perjalanan karier Adrien Jurad Chamrong
Untuk bergelar pemain dalam saingan tertinggi liga bola sepak tanah air, Jurad merupakan seorang pemain melangkah sedikit demi sedikit sebelum dapat mengecapi sesuatu yang diimpikannya untuk bergelar pemain profesional.
Hal ini kerana beliau telah mendapat pendedahan beraksi di Liga Dunhill bersama pasukan BERNAS pada usia 16 tahun. Ketika menjengah usia 19 tahun, beliau beraksi di pentas Liga FAM [kini dikenali Liga M3] bersama CIMA Perlis pada tahun 1996 dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) setahun kemudian.
Berkat kesungguhan dan kualiti hebat dimiliki dengan pakej fizikal yang cukup baik, Jurad telah dipilih untuk membarisi skuad utama Kedah pada musim 1998 hingga 2001.
Beliau kemudiannya memilih untuk berhijrah ke Perlis dan dari situlah karier sudah mula menampakkan hasil dan banyak pencapaian yang diraih seperti menjuarai Piala Malaysia 2004 dan 2006 , Liga Super dan Piala Sumbangsih 2005.
Beliau juga pernah merasai kehangatan perlawanan akhir Piala FA 2003 dan 2006 tetapi kedua-duanya kecewa apabila tumpas ditangan Negeri Sembilan [1-2] dan Pahang [sepakan penalti 2-4].
Musim 2007 menjadi kenangan yang segera mahu dilupakan Jurad Chamrong susulan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dialami sehingga menyebabkan beliau terpaksa mengumumkan persaraannya daripada pentas profesional.
Lontaran jauh jadi aset utama
Berkongsikan kepada wakil Vocket FC ketika dihubungi, Jurad Chamrong mendedahkan bahawa aset yang menjadi ‘senjata’ buat beliau itu dipraktikkan ketika bersama pasukan PKNK.
“Pertama kali saya lakukan latihan lontaran jauh ini adalah ketika sesi latihan bersama PKNK. Sebenarnya hanyalah sekadar suka-suka sahaja.”
“Tetapi selepas saya menyertai Perlis, kebetulan pada ketika itu kami ada Phillemon Chipeta memang mempunyai kualiti hebat dalam perebutan bola di udara. Akhirnya, ia jadi senjata atau strategi pasukan untuk mendapatkan jaringan.”
“Selain mungkin semua ini hadir daripada kekuatan di bahagian perut dan bahu, ia juga merupakan kelebihan yang diberikan Tuhan kepada saya.”
“Lebih menarik dan boleh dikatakan kelakar juga, kesan daripada jaringan unik pada perlawanan akhir itu barulah penyokong mengetahui bahawa saya adalah pemain tempatan kerana sebelum itu mereka ingat saya ini pemain import dari Thailand,” ujar Jurad yang merupakan kelahiran Alor Setar berketurunan Siam.
Prinsip ketika bergelar pemain bola sepak profesional
Seperti pemain profesional yang lain, Jurad Chamrong juga mempunyai prinsip dan cara hidup dalam mengiringi kerjaya hebatnya dalam bola sepak.
“Setiap orang ada cara berbeza tetapi macam saya, semuanya perlukan banyak pengorbanan kerana anda perlu tinggalkan keluarga.”
”Paling penting bagi saya ialah disiplin untuk memajukan karier serta diri kita sendiri. Pemakanan dan minuman memang saya akan jaga. Nasib baik juga saya memang tidak pernah merokok dan mengambil minuman beralkohol.”
“Pendek kata, makan , tidur atau segalanya tentang diri saya adalah berkaitan dengan bola sepak. Pada ketika itu, tanpa bola sepak memang hidup ini rasa tidak sempurna.”
Adrien Jurad Chamrong pada ketika ini?
Sebaik sahaja mengumumkan persaraan dalam kancah bola sepak, Jurad diserapkan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan masih bertugas di institusi tersebut sehingga ke hari ini.
Beliau menjadi antara tonggak utama dalam membantu UniMAP menjuarai saingan Piala Emas Raja-Raja 2010, 2013 dan 2014 serta Piala Agong 2011.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Impak PKP, Akademi Futsal Di Manjung Ini Ambil Inisiatif Jual Ayam Goreng
Tabiat Pemakanan Jadi Punca Antonio Cassano ‘Hanyut’ Di Real Madrid