Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan pada ketika ini, sebuah akademi futsal di Manjung, Perak telah mengambil inisiatif terpuji dalam usaha mereka untuk mengisi kantung pasukan dalam menghadapi saat sukar berikutan wabak melanda.

Akademi yang dikenali sebagai TOT United Futsal Academy (TUFA) ini bukanlah nama besar dalam kancah futsal tanah air dan mungkin ramai dalam kalangan kita tidak pernah mengetahui kewujudannya tetapi usaha mereka untuk menyelamatkan jangka hayat akademi tersebut wajar dipuji.

Dengan semangat tinggi untuk terus membantu bagi melahirkan bakat baharu dalam sukan lima sebelah ini dan tidak mahu akademi tersebut terkubur dek kerana kekangan kewangan berikutan pandemik melanda, pengurusan TUFA memilih untuk menjalankan perniagaan ayam goreng.

TUFA
Faris tidak mahu COVID-19 dijadikan alasan untuk menutup operasi akademinya.

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Ketua Jurulatih TUFA, Faris Sidek mendedahkan langkah untuk menjalankan perniagaan ayam goreng ini bagi mengurangkan bebanan kewangan serta tidak mahu akademi yang diwujudkan sejak tiga tahun lalu ini terkubur.

“Idea untuk menjalankan perniagaan ayam goreng mula terdetik di hati dan minda saya pada tahun lalu apabila negara mula diserang wabak berbahaya ini. Memang perancangan dibuat sebagai langkah berhati-hati untuk menampung kos perjalanan akademi ini di samping mahu membantu pemain yang terlibat untuk mendapatkan sedikit duit poket.”

“Secara peribadi, memang minat yang mendalam buat saya bersama pembantu untuk mencungkil bakat baharu futsal negara, oleh itu saya tidak mahu melihat akademi yang ditubuhkan oleh kami sendiri ini terkubur dengan begitu sahaja. Saya tidak mahu menjadikan COVID-19 sebagai alasan untuk kami menutup operasi akademi ini,” ujar Faris menceritakan tentang harapannya.

”Memang tak dapat dinafikan pandemik ini memang membuatkan kewangan kami agak berkurangan kerana sumber terbesar [akademi] kami datangnya daripada yuran bulanan yang dikenakan terhadap pelatih kami. Selain itu, jualan pra-tempahan jersi juga semakin kurang sambutan.”

”Melihatkan kepada masalah tersebut, saya tekad untuk menjalankan perniagaan ayam goreng yang dinamakan sebagai TG Ayam Goreng ini bersama pembantu jurulatih dan beberapa orang pemain dengan berbekalkan modal pendahuluan sebanyak RM600.”

”TG itu juga bermaksud ‘TUFA Geng’ dimana ia memberikan makna cukup jelas untuk kami berjuang dengan daya termampu untuk memastikan perniagaan ini akan dapat membantu perjalanan akademi kami.”

TUFA
‘Air tangan’ dari TUFA.

”TG Ayam Goreng beroperasi bermula jam 11 pagi pada setiap hari berhampiran Stadium Majlis Perbandaran Manjung dan ayam yang digoreng panas, pedas dan ranggup itu anda boleh dapatkan dengan harga RM1 seketul,” tambah Faris lagi.

Setakat ini, TUFA mempunyai hampir 50 orang pelatih berusia 7 hingga 17 tahun dimana turut mempunyai satu pasukan perempuan.

Kewujudan TUFA sudah mula mencuri tumpuan jurulatih dalam saingan futsal tertinggi tanah air apabila empat orang bekas pelatih, Muhammad Huzaifah  Mohd Saad, Muhammad Zaim Azim Muhammad Fajaruddin, Shafiq Zikry Ahmad Fauzi dan Muhammad Danial Aqasha Dahlan diberikan peluang mewakili pasukan dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Selain itu, Ali Husaini pula terpilih sebagai salah seorang pemain bawah 12 tahun untuk menjalani sesi latihan bersama Barcelona.

Inisiatif ini mungkin akan dipandang sepi oleh banyak pihak tetapi ia sebenarnya memberikan gambaran jelas bahawa semua masalah dihadapi tidak mampu mematikan api perjuangan mereka dalam mencari bakat baharu meskipun sumber kewangan akademi tersebut kian meruncing pada ketika ini.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

RASMI: Pemain Naturalisasi Malaysia, Liridon Krasniqi Sah Sertai Newcastle Jets

Kad Merah Bednarek Satu Kesilapan Dan Ditarik Balik, Kad Merah Luiz Kekal

AFC: Penundaan Perlawanan Kelayakan Berdasarkan Keadaan Semasa