Penglibatan Kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC) dalam saingan Liga M3 dan Piala Presiden 2022 seperti dilaporkan Bernama, semalam disifatkan sebagai lembaran baharu buat bola sepak di negeri tersebut selepas dilanda badai beberapa tahun lalu.

Perlis lenyap daripada peta bola sepak Liga Malaysia pada penghujung Februari 2019 selepas Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) mendapati sumber pendapatan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada ketika itu termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia.

Sehubungan dengan hukuman itu, Perlis hanya sempat beraksi dalam tiga perlawanan sebelum hilang daripada radar bola sepak negara sehingga ke hari ini.

Meskipun PUFC bukanlah pasukan menggantikan skuad utama yang lenyap tetapi hanya sebagai badan gabungan PFA, namun perkembangan terkini tersebut pastinya mengukirkan sedikit senyuman buat peminat setia bola sepak di negeri tersebut.

Hakikat itu turut dikongsikan Presiden PFA, Zamri Ibrahim yang sedia memberikan bantuan sewajarnya buat PUFC.

“Ia dilihat sebagai titik perubahan awal ke arah kebangkitan semula sukan bola sepak Perlis dan kita kini sedang berusaha membantu PUFC beraksi dalam Liga Perdana.”

“Insya-Allah jika semua berjalan dengan baik dan mendapat ‘lampu hijau’ daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta penajaan, peminat bola sepak Perlis dapat melihat kembali pasukan kesayangan mereka beraksi semula di pentas Liga Malaysia tahun depan,” ujar Zamri bercakap kepada wakil Bernama.

Dalam perkembangan lain, Zamri turut mendedahkan saingan Liga Perlis yang menonjolkan pemain bawah 21 tahun akan diadakan pada tahun hadapan dalam usaha PFA dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri dan kerajaan negeri untuk mencungkil bakat baharu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia di sini:

Alexandre Polking Bangga Dengan Disiplin Tinggi Pemain Thailand

Lukaku: Kami Adalah Pemburu, Setiap Perlawanan Ibarat Final

Park Hang-seo Tergamam Vietnam Tersingkir Dari Piala AFF Suzuki 2020

Sumber