Pusingan ketiga CIMB Liga Super menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pendahulu baharu selepas berjaya meraih kemenangan buat kali ketiga berturut-turut apabika mengatasi PDRM 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Malah, JDT menjadi pasukan tunggal yang meraih sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan dan dicabar hebat Perak yang menduduki tangga kedua menerusi pungutan tujuh mata.
Penyerang JDT, Diogo Luis Santo muncul wira pasukannya pada minit-85 apabila mudah menolak masuk bola umpanan Nazmi Faiz yang pantas menyambar bola dari sebelah kiri berpunca daripada sepakan penalti diambil Diogo sebelum itu yang mengenai tiang.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, berkata, beliau berasakan situasi ini adalah normal walaupun mereka berdepan kesukaran yang tinggi untuk menewaskan PDRM kali ini memandangkan mereka adalah juara bertahan buat kali keenam berturut-turut.
“ Kami telah berdepan banyak situasi seperti ini dalam perlawanan lalu dan lawan melakukan kerja rumah yang begitu mendalam terhadap kemampuan terhadap pemain kami.
“ JDT adalah pasukan yang mahu untuk ditewaskan oleh mana-mana pasukan dan kami boleh terima hakikat itu, cuma sekarang buat pasukan, kami kena tingkatkan lagi persembahan terutama pada aspek sentuhan penyudah serta corak permainan.
“ Pemain-pemain baharu yang baharu sertai kami sedang cuba menyesuaikan diri lagi dengan pasukan ini tetapi saya tidak mahu jadikan itu alasan cuma apa yang penting kami meraih tiga mata serta sembilan mata secara keseluruhan dalam pertandingan ini, ” katanya.
Di Stadium Perak, Ipoh, skuad The Boss Gaurus meneruskan rentak cemerlang di awal musim apabila memperagakan persembahan menyakinkan untuk menewaskan PJ City, 2-0.
Gol daripada Shahrul Saad pada minit-24 serta jaringan daripada sepakan percuma yang disempurnakan Thierry Chantabin pada minit-63 memahatkan kemenangan pertama Perak di laman sendiri dalam saingan CIMB Liga Super, musim ini.
“ Kemenangan ini cukup baik memandangkan kami turun tanpa beberapa pemain utama seperti Leandro, Partiban dan Hafizul Hakim tetapi pemain muda berjaya isi kekosongan yang ditinggalkan.
“ Kehadiran Guiherme De Paula banyak membantu di bahagian serangan kerana dia tidak henti berlari selama 90 minit di atas padang serta membantu Shahrel Fikri namun suka saya ingatkan perjalanan kami masih terlalu jauh, ”katanya.
Sementara itu rentetan kemenangan Melaka akhirnya berakhir apabila mereka kalah 2-3 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
The Fighters bermula cemerlang dalam tempoh 15 minit pertama apabila meledak dua gol pantas melalui Nicolas Velez pada minit 7 dan rembatan jarak jauh menarik daripada Khairul Amri, lapan minit kemudian.
Velez mengukuhkan kedudukan Felda United di babak kedua pada minit-63 sebelum Melaka cuba bangkit melalui dua gol oleh Romel Morales pada minit-81 serta Uche Agba di minit-88 tetapi sudah terlewat untuk menyekat Felda meraih kemenangan sulung musim ini.
Terengganu FC pula bangkit daripada ketinggalan tiga kali untuk menyekat hajat Selangor pulang ke Shah Alam dengan tiga mata apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Ifedayo Omosuyi menanduk masuk untuk gol pembukaan Selangor pada minit-39 namun Terengganu hanya mengambil masa empat minit bagi memadamkan kelebihan menerusi pemain gantian, Rahmat Makasuf.
Pelawat kembali memimpin permainan sebaik kuisan Khyril Muhymeen pada minit-52 bijak memperdayakan Ilham Amirullah dan Terengganu FC sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit-64 oleh Sanjar Shaakhmedov.
Pemain tengah, Brendan Gan hampir membuatkan peminat Selangor bergembira melalui gol pada minit-70 tetapi mujur Lee Tuck muncul penyelamat hasil sepakan penalti yang disempurnakan pada penghujung permainan.
UiTM FC dan Kedah terus kempunan meraih kemenangan sulung mereka musim ini apabila terikat 1-1 di Stadium UiTM Shah Alam pada Rabu.
Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman memberikan bayangan sempurna untuk skuad Lang Merah meraih tiga mata sebelum Gustavo Almeida memastikan tuan rumah boleh tersenyum dengan gol penyamaan pada minit-81.
Di Stadium Darul Makmur, Pahang akhirnya menarik nafas lega apabila mencatat kemenangan pertama musim ini serta bangkit daripada kekalahan kali kedua berturut-turut selepas menumpaskan Sabah 2-0 hasil gol yang disumbangkan Ivan Carlos pada minit-21 dan Herold Goulon melalui sepakan penalti di minit-50.
Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Malaysia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.
Kehadiran Penonton Ke Stadium Perlawanan Ke-3 Menurun Lebih 50%, 4 Venue Bawah 1000 Penonton