Johor Darul Ta’zim (JDT) turun ke Stadium Darul Aman selaku juara Liga Super buat kali kesembilan musim ini. Namun, mereka dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan 10 orang pemain.
Baca Juga:
- JDT Sah Juara Liga Super 2022, Sapu Bersih Semua Piala
- Selangor Jadi ‘Lauk’ Harimau Selatan Di Stadium Sultan Ibrahim
- JDT Akan Tubuh Pasukan Futsal Mulai Tahun Depan
Dalam perlawanan ini, Harimau Selatan turun tanpa kelibat tonggak import, Fernando Forestieri dan mengekalkan barisan yang sama ketika menentang Negeri Sembilan pada hari sabtu lepas.
Bagaimanapun, Kedah terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 11 menerusi larian solo Roland Ngah yang gagal dihalang oleh barisan pertahanan JDT.
11' GOL | Ronald Ngah membuka tirai jaringan di Alor Setar menerusi larian solo ini!@kda_fc 1-0 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/t6DEmHtZMF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 4, 2022
Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT bangkit mengatur gerakan dan memperolehi beberapa peluang terhidang namun gagal disudahkan oleh Bergson da Silva.
Pada minit ke 36, Bergson akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila merembat masuk hantaran cantik Afiq Fazail dari tengah. Gol ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warga maya kerana dikatakan berada kedudukan ‘offside’.
36' GOL | Bergson da Silva menyudahkan hantaran Afiq Fazail untuk gol penyamaan JDT!@kda_fc 1-1 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/0AKZdvGfbV
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 4, 2022
10 minit kemudian, berlaku sedikit kekecohan dalam padang apabila Bergson dilayangkan kad merah selepas didapati menumbuk tengkuk pemain pertahanan Kedah, Rodney Celvin. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Biarpun beraksi dengan 10 orang pemain, ia tidak menghalang JDT untuk mempamerkan corak permainan yang lebih kemas di separuh masa kedua. Hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez.
60' GOL | Leandro Velazquez menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan JDT di hadapan!@kda_fc 1-2 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/vjcGOq5DnQ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 4, 2022
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun JDT lebih berpengalaman dan beraksi cemerlang mengekang kemaraan jentera serangan tuan rumah.
Kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan Kedah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Harimau Selatan menambah gol ketiga menerusi rembatan Afiq Fazail selepas menerima hantaran daripada Arif Aiman.
79' GOL | Afiq Fazail menyudahkan hantaran Arif Aiman untuk gol ketiga JDT!@kda_fc 1-3 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/r1OTbIDF4K
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 4, 2022
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 19 perlawanan setakat ini.
Kekalahan ini juga telah menutup peluang Kedah untuk memburu tiket ke Piala AFC musim depan dengan memburu sekurang-kurangnya tempat ketiga Liga Super.