Risiko besar diambil Myanmar nyata membuatkan hasil selepas mereka muncul juara kumpulan B saingan Kejuaraan Futsal AFF 2022 susulan kemenangan 10-3 yang dilakarkan bertemu Timor Leste, sebentar tadi.
Sedar skuad kendaliannya perlu meraih kemenangan dengan kelebihan enam gol, Bunlert Charoenwong mengambil pendekat yang cukup berani dengan menerapkan taktikal ‘powerplay’ sejak dari awal permainan.
Malah, segalanya tampak cukup menjadi buat Myanmar apabila hantaran-hantaran silang di hadapan gol dilancarkan seringkali menjadi masalah buat para pemain Timor Leste.
Selain itu, ledakan dari sudut sukar yang cukup tepat menemui sasaran juga menjadi senjata utama buat Myanmar.
Situasi menekan yang sangat diperlukan itu jelas dilakukan dengan cukup baik barisan anak buahnya selepas mereka berjaya meledakkan tujuh jaringan pada separuh masa pertama walaupun turut dibolosi tiga gol.
Hlaing Min Tun menjadi watak yang cukup penting pada perlawanan ini apabila beliau berjaya menghasilkan empat gol manakala Myo Thet Aung pula merakamkan dua jaringan.
Naing Lin Tun Kyaw, Thyne Phwet Aung, Myo Myint Seo dan Aung Zinn Oo masing-masing menjaringkan satu gol bagi merealisasikan impian Myanmar untuk bergelar juara kumpulan B.
Sementara itu, Timor Leste yang menunjukkan peningkatan prestasi pada edisi kali ini mendapatkan jaringan menerusi sumbangan Venceslau Fatima Guterres, Mesquita Joaquim dan Miguel Fernandes.
Dengan berakhirnya perlawanan peringkat kumpulan B menyaksikan Myanmar dan Vietnam bakal meneruskan pemburuan slot ke Kejuaraan Futsal AFC 2022 yang bakal diadakan di Kuwait, September nanti.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Vietnam Pastikan Australia Ucap Selamat Tinggal
Futsal AFF 2022: Skuad Negara Kembali Bangkit, Belasah Brunei 10-0