Pertahanan Kelantan United FC, Mohd Faisal Rosli menjelaskan dia sangat terharu diberikan peranan sebagai ketua pasukan pada penampilan sulung bersama pasukan baharunya itu semasa saingan pusingan pertama Piala FA berdepan Kinabalu Jaguar FC, Jumaat lalu.
Menurut pemain berusia 31 tahun berkenaan, sepanjang kerjayanya bermain bola sepak di peringkat profesional, ini pertama kali dia diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan.
Justeru, dia mengharapkan sokongan rakan sepasukan untuk membantunya bagi membawa cabaran Kelantan United sebagai salah satu pesaing utama di Liga Premier.
“Ini pertama kali dalam karier, saya diberi peranan menjadi ketua pasukan dan satu perkara yang tidak pernah berlaku semasa di Pahang, satu pengalaman baharu buat saya.
“Tambahan saya ini pemain baharu dalam pasukan, saya tidak fikir saya layak pada mulanya kerana masih ramai pemain lain yang telah lama dengan pasukan.
“Mungkin jurulatih (Syamsul Saad) melihat kepada pengalaman yang dimiliki semasa saya di Pahang membuatkan dia yakin berikan tugasan ini.
“Banyak perkara yang saya kena belajar untuk menjadi ketua pasukan kerana tugas ini bukan mudah terutama dalam meningkatkan moral rakan sepasukan selain bertindak sebagai wakil mereka jika ada masalah di atas padang.
“Terima kasih atas kepercayaan diberikan oleh jurulatih dan saya akan balas kepercayaan yang diberikan beliau untuk membawa pasukan ke tahap lebih baik pada musim 2022,” katanya kepada MFL.
Pertahanan Kelantan United FC, Mohd Faisal Rosli menjelaskan dia sangat terharu diberikan peranan sebagai ketua pasukan pada penampilan sulung bersama pasukan baharunya itu semasa saingan pusingan pertama Piala FA berdepan Kinabalu Jaguar FC, Jumaat lalu.#PialaFA2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 15, 2022
Dalam perlawanan berdepan Kinabalu Jaguar, Kelantan United berjaya menang selesa 4-0 melalui jaringan Haziq Subri, Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin, Amidu Salifu dan Njoku Jacob.
Faisal yang sebelum ini bermain selama 9 musim di Pahang sejak 2013 menjadi salah seorang pemain tempatan baharu dibawa ke Kelantan United selain Haziq Subri, Zulkiffli Zakaria dan Muhd Aliff Najmi Shaaini.
Selepas ini, Kelantan United bakal berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perlawanan kedua Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Jumaat ini.
“Kami datang ke Johor dengan tekad meneruskan kecemerlangan yang dibawa dari saingan Piala FA cuma saya tidak mahu rakan-rakan memandang rendah akan kemampuan lawan yang punyai ramai pemain berkualiti.
“Biarpun JDT II, pemain-pemain yang menguatkan cabaran pasukan sebenarnya terdiri dari mereka yang boleh bermain dengan JDT.
“Sudah tentu sukar mendapatkan kemenangan di sana tetapi kami akan cuba sedaya upaya kerana mahu memulakan langkah kanan pada aksi sulung Liga Premier,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Zarif Irfan Mahu Pastikan Tok Gajah ‘Clean Sheet’ Jika Diberi Peluang Beraksi
Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam
Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium