Musim baharu Liga Malaysia 2022 bakal membuka tirainya pada hari esok dengan empat perlawanan Liga Super 2022, manakala saingan Liga Premier 2022 akan bermula pada Sabtu, 5 Mac.

Penyokong bola sepak tempatan pastinya teruja untuk hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan masing-masing. Namun begitu, mereka perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Berdasarkan tinjauan di laman web tickethotline,  ada satu SOP yang perlu diambil perhatian oleh para penyokong bola sepak tempatan iaitu hanya mereka yang sudah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke dalam stadium.

Ini kerana peraturan itu merupakan sebahagian daripada prosedur SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan terhadap saingan Liga Malaysia.

Lengkap vaksinasi bermaksud sudah mempunyai dua dos suntikan vaksin serta satu dos penggalak (booster) sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Ia juga bermakna penyokong yang belum mengambil suntikan dos penggalak tidak dibenarkan masuk dan bakal memberi kesan kepada jumlah kehadiran di stadium serta mengurangkan  hasil kutipan tiket.

Pengambilan dos penggalak ini diwajibkan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan penyokong, pemain dan pegawai pasukan kerana virus COVID-19 sentiasa bermutasi. Peningkatan kes COVID-19 mampu menjejaskan perjalanan Liga Malaysia sehingga terpaksa digantung seketika.

Malah, beberapa pasukan Liga Super seperti PJ City turut mewajibkan para penyokong yang hadir lengkap dengan pengambilan dos penggalak dan hanya yang berusia 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk ke dalam stadium.

Penyokong juga perlu menunjukkan sijil digital Mysejahtera kepada petugas tiket di pintu masuk stadium sebagai bukti telah lengkap divaksinasi.

Walaupun tiket tersebut sudah dibeli namun tickethotline menegaskan tiada bayaran balik akan diberikan jika gagal mematuhi terma dan syarat seperti yang ditetapkan.

https://twitter.com/pjcityfc/status/1499283510410244097?s=20&t=CSpG5NI6XcfjiSya1SKAog

Selain lengkap vaksinasi, para penyokong juga tidak dibenarkan makan dan minum ketika berada dalam stadium sepanjang perlawanan berlangsung.

Penyokong jelas tidak berpuas hati dengan larangan ini dimana mereka menganggap peraturan ini hanya membebankan dan sedikit sebanyak merosakkan pengalaman ketika menonton perlawanan di stadium.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Gagal Patuhi SOP, Terengganu FC Dan MFL Dikenakan Kompaun RM10,000

Penyokong Masih Tidak Dibenarkan Makan Dan Minum Dalam Stadium