Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Syamsul Saad bertekad mahu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di negeri tersebut seperti yang pernah dijelmakan sebelum ini.
Seperti diketahui, Kelantan merupakan sebuah pasukan digeruni bermula tahun 2010 hingga 2015 dimana tahun 2012 memperlihatkan dominasi secara total ditampilkan dengan kejuaraan ‘treble’ dimenangi.
Syamsul menjadi pilihan pengurusan tertinggi Kelantan United bagi menggantikan pengendali terdahulu, Nazrulerwan Makmor yang menamatkan saingan Liga Premier musim lalu di tangga ketujuh tetapi masih mampu layak ke Piala Malaysia.
Susulan dengan pelantikan tersebut dan tidak mahu skuad bimbingannya sekadar menjadi pasukan di tangga pertengahan, Syamsul meletakkan sasaran untuk membawa Kelantan United ke saingan Liga Super musim hadapan.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahu mencipta sesuatu kejayaan apabila diberi kepercayaan untuk melatih pasukan KUFC,” ujar Syamsul menurut sumber laporan dikeluarkan Bernama.
“Saya mahu tiupkan semula semangat juang yang tinggi kepada pemain-pemain dan kembalikan zaman kegemilangan Kelantan seperti suatu ketika dahulu sehingga digeruni pasukan lawan.”
“Sasaran itu tidak memberi tekanan sebaliknya ia sebagai cabaran kepada saya walaupun kami pasukan yang memperuntukkan bajet kecil untuk persiapan pemain.”
“Saya akan menggunakan sepenuhnya tenaga pemain muda untuk mencapai sasaran ini,” tambah Syamsul Saad lagi.
Cabaran pertama yang perlu dihadapi Syamsul Saad dan anak buahnya dalam kempen liga ialah pendatang baharu saingan Liga Premier Malaysia, Perak di Ipoh pada 3 Mac nanti.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Pengalaman Baharu Buat Nasir Basharudin Dapat Bersama PJ City
FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak