Pemain tengah berpengalaman, Mohamad Nasir Basharudin sah bakal memperkuatkan kelab saingan Liga Super, PJ City FC selepas kehadiran beliau telah diumumkan dalam satu sidang media memperkenalkan pemain baharu kelab tersebut yang diadakan sebentar tadi.
Kemasukan Nasir dilihat dapat menambahkan lagi kekuatan di jentera tengah PJ City yang masih lagi mengekalkan polisi ‘100% pemain tempatan’ buat musim kedua mereka.
Nasir yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama Perak pada musim 2018 meninggalkan negeri kelahirannya itu pada musim 2020 untuk menyarung jersi Terengganu FC.
Ini bermakna PJ City FC menjadi pasukan ketiga diwakili pemain berusia 32 tahun itu sepanjang karier profesionalnya.
Kelab yang menamatkan kempen Liga Super 2021 di tangga ketujuh itu turut membawa masuk tonggak utama pasukan masing-masing seperti R. Barathkumar dan R. Aroon Kumar dari Negeri Sembilan serta S. Kumaahran (Pemain pinjaman Melaka United dari JDT).
Selain itu, khidmat bekas penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri bersama-sama A. Shivan Pillay (Selangor) dan Marcus Mah Yung Jian dari Penang FC turut ditagih sekali gus melengkapkan tujuh pemain baharu skuad bimbingan P. Maniam itu.
PJ City FC bakal memulakan kempen Liga Super Malaysia 2022 dengan aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bertemu semi finalis Piala Malaysia musim lalu, Melaka United.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak
Ibu Pejabat Baharu FAM Setinggi Lima Tingkat Dijangka Siap Pada Tahun 2025