Hasrat Sri Pahang untuk mengutip tiga mata penuh dalam Liga Super musim ini tertangguh lagi apabila mereka terikat 1-1 ketika menentang PJ City di Stadium Darul Makmur semalam.
Dalam perlawanan itu, Tok Gajah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi rembatan Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti pada minit ke 38. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
38' GOL | Manuel Hidalgo membuka akaun gol musim 2022 menerusi rembatan dari luar kotak penalti!@OfficialPahang 1-0 @pjcityfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/jOvLNdeYOX
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2022
Memasuki separuh masa kedua, PJ City mula bangkit mengatur gerakan berbahaya dan kerap memberi masalah kepada benteng pertahanan Sri Pahang. Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke 82 namun rembatan Kogileswaran mudah ditepis oleh penjaga gol tuan rumah, Mohamadou Samassa.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Barathkumar melakukan rembatan voli dari luar kotak penalti untuk gol penyamaan pada minit ke 86.
86' GOL | PJ City FC memperolehi gol penyamaan menerusi rembatan voli R. Barathkumar!@OfficialPahang 1-1 @pjcityfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/4PfyK2eHb3
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2022
Gol ini mencetus kontroversi dan menjadi pendebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Pengadil perlawanan pada mulanya membatalkan jaringan itu kerana penjaga garisan mendapati pemain PJ City berada dalam kedudukan offside sekaligus menimbulkan situasi tegang sehingga menyebabkan para pegawai dan pemain PJ City mengerumuni pengadil melakukan bantahan.
Selepas berbincang dengan penjaga garisan, pengadil kemudian mengubah keputusan dan mengesahkan gol itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ketua jurulatih Sri Pahang, Christopher Gamel jelas tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan perlawanan itu.
“Pengadil kata offside, ianya memang offside. Saya tidak pernah tengok mana-mana pengadil mengubah keputusan hanya kerana mereka (PJ City) memberi tekanan kepada dia.
“Peraturannya jelas, apabila pemain lawan membuat gerakan atau mengganggu pandangan penjaga gol, ianya offside. Ini kali kedua, saya pun faham cakap banyak pun situasi tidak akan menyebelahi kita,” kata Gamel ketika sidang media.
Selepas isu di Alor Setar, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel sekali lagi kecewa dengan tindakan barisan pengadil di Stadium Darul Makmur apabila pengadil membenarkan jaringan Barathkumar yang pada awalnya di anggap offside di minit ke-86 @ASTROARENA pic.twitter.com/3aQmuw6zNu
— Syakirah Zulkifly (@SykrhZlkfly) April 9, 2022
Berdasarkan rakaman video, para peminat bola sepak tempatan berpendapat penyerang PJ City jelas berada di posisi offside dan mengganggu pandangan penjaga gol Sri Pahang. Ada juga yang berpendapat bola itu terkena sedikit pada penyerang PJ City dan terus masuk ke gawang gol.
Ini kejadian kedua mutu pengadilan dipertikaikan selepas perlawanan menentang Kedah di Alor Star yang menyaksikan pengadil dan penjaga garisan melakukan kesilapan sehingga menerima hukuman tegas oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.
Malah, pengurusan Sri Pahang juga dilaporkan sudah menghantar surat aduan rasmi kepada FAM. Adakah pengadil dan penjaga garisan perlawanan Sri Pahang menentang PJ City bakal menerima hukuman oleh FAM?
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan
Masalah Tunggakan Gaji Ganggu Fokus Melaka United Dalam Saingan Liga Super
Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19
Yusri Che Lah: Ada Pemain Jual Motosikal Untuk Kelangsungan Hidup
Disahkan Kanser, Brendan Gan Beri Sokongan Kepada Louis van Gaal