Pemain tengah Sri Pahang, Lee Andrew Tuck atau dikenali sebagai Lee Tuck hari ini mengumumkan beliau merupakan warganegara Malaysia yang sah selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Tahun 2022 menjadi tahun keenam Lee Tuck tinggal di Malaysia dan tempoh ini sudah cukup untuk beliau memohon untuk menjadi pemain naturalisasi seperti tiga pemain sebelumnya iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.
Proses naturalisasinya turut dibantu oleh pengurusan Sri Pahang dan mendapat perkenan daripada pemilik kelab, YAM Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Hari ini saya mengumumkan secara rasmi, saya adalah warganegara Malaysia.
“Saya benar-benar bersyukur menjadi warganegara Malaysia. Ia adalah proses yang sukar dan pelbagai pengorbanan telah dibuat untuk sampai ke tahap ini tetapi ini adalah peluang yang tidak dapat saya lepaskan.
“Saya ingin memberikan penghormatan dan penghargaan kepada pemilik Sri Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pengerusi kelab, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah, SPFC CEO, Datuk Mohammed Suffian Awang, Ahli lembaga Pengarah Sri Pahang FC dan semua peminat tok gajah yang telah menyokong proses ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan rapat,” tulisnya di laman instagram.
Selain Lee Tuck, seorang lagi pemain dari Argentina, Sergio Aguero turut melalui proses naturalisasi untuk menjadi warganegara Malaysia.
Sebelum ini, Sri Pahang cuba untuk mendaftarkan dua pemain ini sebagai pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua namun usaha mereka tidak berjaya.
Difahamkan, Sri Pahang kini sedang menanti keputusan rayuan daripada Malaysia Football League (MFL) dan kelibat dua pemain tersebut dijangka dapat disaksikan dalam saingan Piala Malaysia atau Liga Super musim depan.
Perkara tersebut melibatkan peraturan yang termaktub dalam Artikel 3.4.9 Manual Liga-M iaitu Peraturan dan Syarat Status Pemain – Pemerolehan Kewarganegaraan Malaysia (Kerakyatan).
Di bawah artikel itu, mana-mana pemain memperoleh Kewarganegaraan Malaysia secara naturalisasi seperti dikuatkuasakan kerajaan dan ingin didaftarkan sebagai pemain tempatan, perlu membuktikan taraf kewarganegaraan pemain melebihi dari lima tahun sebelum tarikh perlawanan pertama musim baharu.
Lee Tuck berusia 34 tahun dan Aguero berusia 27 tahun telah membuat penampilan dalam kancah Liga-M sejak musim 2017.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September
Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS