Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu perlawanan Liga Malaysia 2022 di mana tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan yang terkena jangkitan COVID-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam SOP baharu itu telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah dan dibentangkan kepada semua CEO kelab-kelab yang bertanding pada sesi taklimat pada 29 Mac 2022.
Jelas Stuart, pelaksanaan SOP baharu itu penting dalam memastikan kelancaran saingan Liga Malaysia 2022 di mana pasukan-pasukan bakal mengharungi jadual agak padat andai kelonggaran untuk pasukan memohon penundaan perlawanan akibat kes COVID-19 terus dipraktikkan.
Ini kerana sehingga 16 Mac 2022 iaitu dalam hanya tempoh 12 hari saingan Liga Malaysia musim ini bermula, MFL terpaksa menunda 16 perlawanan melibatkan pertandingan Liga Super, Liga Premier dan Piala FA akibat penularan kes COVID-19 di kalangan pegawai dan pemain kelab.
“Dengan penundaan beberapa perlawanan sebelum ini jelas menjejaskan penjadualan perlawanan Liga Super dan Liga Premier khususnya bagi tempoh rehat serta perjalanan kelab-kelab dan juga perancangan pasukan kebangsaan.
“Masalah ini diburukkan lagi dengan beberapa perlawanan yang terpaksa ditunda hanya sehari sebelum perlawanan yang mana pasukan lawan dan pegawai-pegawai perlawanan telah tiba di negeri pasukan tuan rumah.
“Selain kekangan masa bagi penjadualan semula perlawanan tertunda, setiap penundaan perlawanan akan menelan kos tinggi dari segi pengelolaan, logistik, penyiaran dan keselamatan serta merumitkan keadaan bagi semua pihak yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu perlawanan Liga Malaysia 2022 di mana tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan yang terkena jangkitan COVID-19.#LigaMalaysia2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 3, 2022
Tambah Stuart, dengan keputusan untuk tidak memberi kebenaran kepada sebarang penundaan perlawanan bagi pegawai dan pemain kelab yang positif COVID-19 atau kontak rapat bergejala, maka Protokol COVID-19 perlawanan Liga Malaysia 2022 akan dikuatkuasakan seperti berikut:
1. Sekiranya pegawai atau pemain kelab disahkan positif COVID-19, kelab mempunyai dua pilihan:
i. Kelab diberi pengecualian sementara untuk menggantikan dengan pegawai – pegawai dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia bagi mengisi kekosongan tersebut. Manakala bagi pemain kelab dibenarkan untuk mendaftarkan pemain-pemain dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia ke dalam Senarai Pilihan Skuad Utama bagi mengisi kekosongan tersebut. Atau;
ii. Jika kelab tidak dapat menurunkan pegawai dan pemain seperti perkara (i), kerana tidak mempunyai pasukan Piala Presiden atau Piala Belia atau pertindihan jadual perlawanan pertandingan, kelab dibenarkan menurunkan sekurang-kurangnya tiga (3) Pegawai iaitu, Penolong Ketua Jurulatih atau Penolong Jurulatih, Doktor Pasukan dan Fisioterapi. Pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 14 pemain (3 pemain simpanan) pada hari perlawanan. Namun sekiranya kelab gagal mendaftar jumlah 14 pemain tersebut sebelum perlawanan, maka Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan sama ada kelab tersebut boleh meneruskan perlawanan atau dikira kalah.
2. Sekiranya kelab gagal mematuhi perkara (2) dan menyebabkan perlawanan tidak dapat dimainkan tanpa alasan munasabah, maka MFL akan merujuk perkara ini kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL dan tindakan seperti berikut akan dikenakan:
i. Kelab akan dikira kalah 0-3 dan 3 mata diberikan kepada pasukan lawan.
ii. Kelab hendaklah menanggung kos-kos logistik pasukan lawan serta kos-kos pengelolaan perlawanan serta penyiaran.
iii. Kos-kos tiket pengangkutan (penerbangan/bas), perbatuan, tol, penginapan, makanan bagi pegawai-pegawai perlawanan seperti pengadil, penilai pengadil dan komisioner perlawanan.
3. Penundaan perlawanan akan hanya dipertimbangkan sekiranya kedua-dua kelab bersetuju untuk bermain di dalam tempoh FIFA Days sahaja tanpa pemain yang berkemungkinan dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Kelulusan pindaan jadual yang berkaitan turut akan memberi kesan kepada waktu rehat dan perjalanan (minimum 2 hari). Bagaimanapun sebarang permohonan berkaitan penundaan perlawanan, perubahan jadual atau apa-apa keputusan berkaitan isu COVID-19 adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan MFL dan arahan terkini oleh Kerajaan.
4. Bagi kelab yang gagal menghabiskan baki saingan perlawanan liga atau gagal bermain di perlawanan terakhir liga maka perkara ini akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk keputusan. Perkara ini turut akan menjejaskan jumlah pengagihan dana kepada semua kelab-kelab akibat kekurangan perlawanan berbanding dengan jumlah perlawanan dalam perjanjian antara MFL, penaja dan penyiar.
5. Bagi tujuan keselamatan dan kesihatan, kelab hendaklah memastikan pegawai dan pemain sentiasa mengamalkan protokol kesihatan kendiri. Adalah tanggungjawab kelab untuk melaksanakan SOP ketat ke atas pemain demi mencegah sebarang jangkitan serta penularan wabak COVID-19 dalam pasukan. SOP ini penting untuk semua kelab dalam Langkah untuk mengelakkan sebarang penundaan perlawanan yang boleh memberikan impak dari sudut kewangan, tahap kesihatan pemain dan pegawai serta terpaksa berdepan dengan jadual perlawanan lebih ketat.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam
Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium