Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh menganggap saingan Liga Malaysia masih belum bersedia untuk menggunakan khidmat Video Assistance Referee (VAR).
Menurut Subkhiddin, banyak aspek perlu diperhalusi seperti tahap kesediaan pengadil Liga Malaysia untuk menggunakan VAR kerana teknologi tersebut memerlukan persediaan rapi serta pengetahuan yang khusus untuk digunakan dalam saingan liga tempatan.
“Dalam soal VAR ini, saya berpendapat kita perlu tengok pembangunan pengadil itu sendiri. Adakah pengadil kita sudah bersedia untuk menggunakan teknologi VAR. Siapa yang akan tengok VAR? Bukankah pengadil yang sama akan tengok VAR. Jadi kalau konsep, pengetahuan, pengalaman semua sama, maka tafsiran juga akan sama dan kesilapan pun akan sama.
“Sebenarnya kita masih belum sampai ke peringkat itu, lagipun liputan televisyen di negara ini pun tak cukup untuk kita melaksanakan penggunaan VAR. Apa yang lebih penting ketika ini adalah pembangunan pengadil dan ia perlu dilakukan dengan baik bermula daripada peringkat permulaan sehinggalah pengadil berkenaan mahir,” kata Subkhiddin Salleh menurut laporan Sinar.
Isu pengadil kembali menjadi perhatian apabila pengadil yang ditugaskan pada perlawanan Liga Super antara Sri Pahang menentang Petaling Jaya City membuat kesilapan dimana pengadil membenarkan jaringan penyamaan PJ City ketika pemain PJ berada di kedudukan ofsaid.
Untuk menyelesaikan isu pengadil yang setiap tahun berlaku dalam saingan Liga Malaysia, ramai pihak mendesak agar khidmat VAR untuk segera digunakan bagi memastikan kesilapan dapat dikurangkan dan pasukan tidak dirugikan.
Antara liga di rantau Asia yang menggunakan khidmat VAR ialah saingan Liga Jepun, Liga Korea, Liga Pro UAE, Liga Profesional Arab Saudi, Liga Super China, Liga Australia dan Liga Thailand.
Liga 1 Indonesia mungkin menggunakan khidmat VAR pada musim 2022-2023 setelah kelab yang bertanding menghantar surat bantahan kepada pengelola liga ekoran banyak kesilapan yang dilakukan oleh pengadil ketika perlawanan berlangsung.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Junior Eldstal Mungkin Kembali Beraksi Bersama Johor Darul Ta’zim
Fayadh Zulkifli: Kekalahan Kepada Selangor Satu Peringatan Buat Kedah