Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mahu berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha mereka memujuk Sabah untuk melepaskan Saddil Ramdani bagi beraksi dalam saingan Sukan SEA 2021 di Hanoi.
PSSI mengumumkan senarai 29 pemain yang dipanggil oleh Shin Tae-yong bagi menyertai kem latihan pusat menjelang saingan Sukan SEA dan Saddil menjadi salah satu pemain yang beraksi di luar negara yang dipanggil selain Elkan Baggott, Asnawi Mangkualam, Pratama Arhan, Egy Maulana Vikri, dan Witan Sulaeman.
Akan tetapi, Sabah tidak melepaskan Saddil untuk beraksi di Hanoi kerana menganggap temasya dwi tahunan itu tidak termasuk dalam kalendar FIFA dan mahu pemain sayap itu untuk membantu Sabah dalam saingan Liga Malaysia.
Meskipun Saddil tidak mendapat pelepasan dari pihak kelab, namun PSSI tidak berputus asa dimana ketua umum mereka, Mochamad Iriawan mahu berbincang dengan FAM mengenai perkara ini.
“Kami akan usahakan perkara ini. Kalau ada rujukan, saya akan berkomunikasi dengan FAM. Saya lakukan ini untuk membantu Saddil. Ada pemain Malaysia yang diizinkan untuk beraksi di Sukan SEA. Maka ada peluang untuk Saddil kerana pemain negara jiran diizinkan,” kata Iriawan.
Saddil Ramdani setakat ini telah beraksi dalam tiga perlawanan Liga Super bersama Sabah dan menjaringkan satu gol. Pemain berusia 23 tahun itu turut menjadi pilihan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk mengisi posisi sayap kanan.
Pada temasya edisi 2019 di Filipina, Saddil menjadi sebahagian daripada skuad Indonesia yang memenangi pingat perak dimana mereka tewas kepada Vietnam pada perlawanan penentuan pingat emas. Bekas pemain Sri Pahang itu turut menyumbang dua gol.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia Tenggara di sini:
Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil
Thailand Lantik Mano Polking Sebagai Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Sukan SEA