Permulaan saingan Liga Malaysia musim 2022 nampaknya tidak berjalan dengan begitu lancar apabila kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) meluahkan rasa tidak puas hati dengan waktu sepak mula baharu, 8.15 malam yang diperkenalkan oleh Malaysia Football League (MFL).
Mereka juga mengesahkan telah menghantar surat permohonan pindaan masa sepak mula bagi perlawanan di Terengganu yang melibatkan pasukan Terengganu FC dan Terengganu FC II. Sepak mula bagi perlawanan saingan liga musim ini telah ditukar ke jam 8.15 malam berbanding 9.00 malam pada tahun lepas.
Menurut kenyataan rasmi TFC, masa yang telah ditetapkan ini dilihat bakal menimbulkan masalah buat pasukan serta para penyokong yang ingin hadir ke stadium.
“Ini kerana jadual sepak mula di negeri ini perlu mengambil kira banyak pihak terutama apabila melibatkan waktu solat kerana hampir 90% pemain dan pegawai pasukan ini adalah beragama islam termasuk para penyokong di negeri ini.
“Waktu baru yang ditetapkan dilihat bakal menyukarkan pasukan terutama para pemain dan pegawai yang ingin menunaikan solat maghrib dan keluar untuk sesi pemanas badan sebelum sepak mula. Ia menjadikan waktu persiapan para pemain menjadi terlalu singkat dan ini boleh menjejaskan persediaan pasukan,” tulis kenyataan rasmi.
🏴🏳️ SESI LATIHAN TERENGGANU FC
Sesi latihan skuad Terengganu fc , Sesi latihan ini adalah untuk memastikan tahap kecergasan para pemain ditahap yang terbaik bagi musim 2022.#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/xjyJ8z785H
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) March 2, 2022
Selain dari itu, TFC juga berpendapat keadaan serta waktu ini juga bakal mengurangkan bilangan penyokong ke stadium kerana ia dilihat terlalu awal bagi penyokong untuk tiba ke stadium kerana ada dikalangan mereka juga kebiasaannya solat di rumah dan masjid terlebih dahulu.
“Pihak Terengganu Football Club Sdn Bhd dalam surat permohonan telah memohon untuk waktu sepak mula bagi perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dipinda ke jam 9.00 malam sepertimana tahun-tahun terdahulu.
“Pihak pengurusan kini sedang menunggu surat balas serta kelulusan dari pihak Malaysia Football League (MFL) untuk memastikan waktu bukaan pintu masuk serta segala yang berkaitan dengan pasukan bolah diuruskan,” jelas kenyataan rasmi.
MFL sebelum ini menjelaskan mereka membuat pembaharuan perkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu 8.15 malam dengan tujuan untuk meningkatkan nilai komersial liga dan menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium
Hasbullah Yakin Melaka United Akan Kembali Bangkit Buru Kemenangan