Pengendali skuad Projek FAM/MSN, Yusri Che Lah dikatakan akan mengubah haluan pada musim 2022 apabila beliau dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan pendatang baharu Liga Premier, Perak FC.
Perkembangan terkini melibatkan bekas pemain tengah skuad Perak itu disahkan oleh Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi ciapan di laman Twitter peribadinya, petang semalam.
Menurutnya, Yusri difahamkan telah mencapai persetujuan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad projek itu.
Berita mengenai kehadiran Yusri untuk mengubah nasib Perak yang terpaksa beraksi di saingan kedua liga bola pada musim hadapan itu bukanlah kisah baharu buat penyokong skuad Yob itu.
Hal ini kerana seperti dilaporkan kira-kira seminggu lalu, sudah terdapat spekulasi mengenai bekas pemain Perak yang pernah memenangi Liga Perdana Satu akan dilantik sebagai ketua jurulatih bagi musim 2022.
Perak FC bakal mendapat sentuhan Yusri Che Lah apabila difahamkan bekas pemain Perak itu sudah mencapai persetujuan bersama dengan FAM untuk melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Projek FAM-MSN.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) December 3, 2021
Malah, beberapa kumpulan (page) penyokong Perak di laman Facebook juga sudah memberikan bayangan mengenai kehadiran jurulatih kelahiran Kangar itu.
Menurut sumber yang dipercayai, terdapat beberapa orang lagi bekas pemain Perak di zaman kegemilangan pasukan tersebut akan berada dalam barisan kejurulatihan bagi membantu Yusri.
Ia merupakan langkah pertama yang diambil pemilik baharu Perak FC, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd. dalam usaha syarikat tersebut untuk mengembalikan maruah kelab tersebut.
Meskipun tiada sebarang pencapaian hebat dilakarkan Yusri Che Lah sepanjang bergelar jurulatih tetapi kemampuannya tidak wajar diperlekehkan penyokong Perak sekiranya perpindahan ini benar-benar berlaku.
Ia jelas dibuktikan sekiranya melihatkan kepada keupayaan beliau dalam mendidik barisan pemain muda seperti dilakukannya di Kelantan dan skuad Projek FAM/MSN.
Dengan sekumpulan pemain muda berbakat besar dimiliki skuad Kejor Yob Kejor itu, segalanya seperti sudah tersedia buat Yusri untuk mengembalikan reputasi hebat pernah dikecapi Perak.