Berita pengambilalihan Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) yang kini sah menjadi milik penuh Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd. telah mendapat pelbagai reaksi terutamanya buat para penyokong kelab tersebut.
Pada ketika ada segelintir penyokong meluahkan kegembiraan berhubung pengumuman daripada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tempoh hari, terdapat juga bertindak mempersoalkan kewibawaan IMC dalam usaha mereka untuk kembali menaikkan martabat bola sepak Perak setelah mengharungi musim 2021 yang begitu mendukacitakan.
Bagaimanapun sumber beberapa ciapan di laman Twitter milik pengulas sukan tersohor tanah air seperti Hafizal Hamad dan Izwan Mohd Nor memperlihatkan seperti ada sinar baharu dalam kem Perak bagi menghadapi fasa baharu di bawah kelolaan IMC.
Pihak pengurusan impact media akan mengadakan pertemuan bersama 2 bekas pemain Perak yang pernah meraih gelaran Piala Malaysia dan Liga Perdana… Salah seorang daripada nya dijangka akan diumumkan sbg Ketua Jurulatih bagi musim 2022..
— Izwan Mohd Nor (@izwanmohdnor) November 25, 2021
Sekiranya melihatkan kepada ciapan kedua-dua personaliti terkenal tersebut, kelihatan pihak IMC sedang berusaha untuk membawa masuk bekas pemain Perak untuk menjadi tunjang kepada bangkitnya semula Perak pada musim hadapan.
Petunjuk jelas daripada Izwan yang menjadi perhatian adalah pihak IMC bakal mengadakan pertemuan dengan dua orang bekas pemain Perak yang pernah meraih Piala Malaysia dan Liga Perdana 1 dimana salah seorang daripada mereka akan dilantik sebagai ketua jurulatih.
Selain itu, Hafizal juga turut memberikan petunjuk dengan ciapan berbunyi,”Himpunan mereka yang pernah harumkan nama Perak.”
Himpunan Mereka yang pernah harumkan nama Perak
— Hafizal Hamad (@hafizal_hamad) November 25, 2021
Sekiranya diimbas kembali pencapaian memenangi kejuaraan yang dinyatakan, Perak telah menjuarai Piala Malaysia 1998, 2000 dan 2018 manakala muncul juara Liga Perdana 1 bagi dua musim berturut-turut [2002 dan 2003].
Ia mungkin sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran jelas kepada para penyokong Perak siapakah dua bekas pemain yang dimaksudkan tersebut.
Siapa pun yang dipilih, sudah pasti tugas sukar perlu digalas dalam memastikan Perak FC dapat kembali mengukirkan senyuman buat para penyokong setelah kelab tersebut menjadi mangsa kelemahan sistem pentadbiran sesebuah pasukan.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Gagal Patuhi SOP, Terengganu FC Dan MFL Dikenakan Kompaun RM10,000
Xavi: Barcelona Jauh Lebih Baik Dari Benfica, Satu Mata Tidak Layak Buat Kami