Pemilik baharu Perak, XOX Bhd tidak menunggu lama untuk ‘mencuci kekotoran’ yang perlu digalas apabila dilaporkan sudah mula melakukan pembayaran tunggakan gaji melibatkan sebahagian besar kakitangan serta para pemain kelab saingan Liga Premier tersebut.
Menurut laporan yang dikeluarkan laman Facebook rasmi Perak Football Club sebentar tadi, syarikat telekomunikasi itu sudah membuat bayaran sebanyak hampir RM1.6 juta kepada 94 orang individu terlibat.
Sementara itu, XOX Bhd turut menjangkaan bahawa tunggakan gaji melibatkan baki 74 orang lagi akan diselesaikan pada minggu hadapan sebaik sahaja selesai semua proses pengesahan dan pengisytiharan hutang-hutang.
“Pihak pengurusan baharu Perak FC bersama pihak eksekutif XOX mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan semua pihak berkaitan dengan kelab bola Perak atas sokongan mereka.”
“XOX berharap agar ini merupakan permulaan baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Perak FC serta mengembalikan zaman kegemilangannya,” ujar pihak tersebut menurut kenyataan dikeluarkan.
Perkembangan terkini itu nyata disambut dengan penuh minat dan keterujaan dalam kalangan para penyokong Perak sentiasa berharap pasukan kesayangan mereka dapat kembali bangkit daripada mimpi ngeri sejak tahun lalu.
Langkah pantas diambil XOX Bhd itu juga sangat penting kerana Perak masih lagi belum dapat untuk mendaftarkan 16 orang pemain baharu yang dipilih Yusri Che Lah ekoran daripada masalah tunggakan tersebut.
Perak ketika ini masih menghuni tangga terbawah Liga Premier dengan -3 mata meskipun sudah mencatatkan dua kemenangan dan pasti sinar baharu akan menyinari skuad ‘Kejor Yob Kejor’ itu dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Malaysia melalui pautan dibawah.
Brendan Gan Bersemangat Tinggi Dapatkan Kembali Tahap Kecergasan
Jang Suk-won Mungkin Bersara, Kedah Cari Pemain Import Asia Baharu