Pemain berpengalaman Selangor FC, Brendan Gan akan membuat penampilan dalam beberapa aksi perlawanan persahabatan bagi mendapatkan semula tahap keyakinan sebelum diberi kepercayaan untuk kembali beraksi sebaik sahaja Liga Super kembali bersambung.
Pemain berusia 34 tahun yang sebelum ini menghidap penyakit kanser semakin menunjukkan perkembangan positif dalam latihan dan begitu fokus untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan yang lebih baik seterusnya beraksi semula dalam perlawanan kompetitif.
Justeru, tempoh masa saingan liga yang berehat selama hampir lima minggu ini mahu digunakan sebaiknya untuk Brendan mengambil peluang turun beraksi dalam beberapa aksi persahabatan yang akan dihadapi Selangor selepas ini.
“Kami akan ada beberapa perlawanan persahabatan selepas ini, jadi sudah tentu saya berharap dapat turun beraksi bagi mendapatkan semula tahap kecergasan dan memang tidak mudah untuk terus bermain macam itu sahaja.
“Ia memerlukan strategi dan jika semuanya berada dalam keadaan yang baik, saya memang berharap untuk diturunkan, penting untuk saya dapat balik corak permainan dalam padang, dan selepas itu mungkin berpeluang untuk berikan sesuatu dalam aksi menentang Sarawak United nanti.
“Apa pun, saya hargai sokongan yang sentiasa di belakang saya di mana bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya, tetapi selepas apa yang berlaku, saya sedar ada lagi sesuatu di luar daripada bola sepak yang lagi penting.
“Cuma sekarang, inilah (bola sepak) semangat saya yang saya nak bagi balik dekat penyokong dan untuk membantu kelab ini”, jelasnya.
Dalam masa sama, Brendan sedar pemain-pemain lain yang memberikan hampir 100 peratus di atas padang wajar untuk terus diberi peluang bagi mempertaruhkan aksi di mana dia sentiasa ingin membantu apa yang mampu di luar padang.
Sehinggalah bekas pemain Perak dan Kelantan benar-benar sudah berada di tahap yang menyakinkan, dia percaya peluang itu akan hadir juga untuknya memberikan sesuatu kepada Selangor pada musim ini.
“Lima minggu ini saya mahu cuba untuk kembali berada dalam keadaan terbaik 100 peratus sebab tiada guna jika saya hanya mampu berikan 50 peratus sahaja di atas padang sedangkan kita ada pemain berkualiti lain yang dapat beri sehingga 100 peratus.
“Jadi, sebab itu saya kena terus bekerja keras dan percaya dengan proses tidak kira macam mana proses itu berjalan, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk diri sendiri dan pasukan”, tambah Brendan Gan lagi.
Selangor FC akan beraksi menentang Sarawak United FC pada 19 Jun depan sebaik sahaja saingan Liga Malaysia kembali bersambung bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan.