Ketika Perak berdepan pelbagai masalah sejak musim lalu, sokongan para penyokong mereka kelihatan sudah mula berkurangan dan tidak seperti kebiasaan sewaktu ‘Skuad Yob’ menjadi antara pencabar utama saingan bola sepak tempatan.
Namun, dalam serba kepayahan sehingga mereka terpaksa menerima hukuman pemotongan sembilan mata sehingga menyebabkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu menghuni tangga terbawah Liga Premier, masih terdapat segelintir peminat yang tidak pernah luntur semangat untuk memberikan sokongan.
Hakikat itu ditampilkan oleh sekumpulan peminat yang menggelarkan diri sebagai ‘The Suppporters‘. Harus diingat, mereka bukanlah satu gerakan ultras seperti pasukan lain.
Bagaimanapun, kesetiaan ditunjukkan oleh kumpulan ini tidak dapat dinafikan yang tidak pernah jemu memberikan sokongan walaupun pasukan berada dalam keadaaan ‘nazak’.
Di samping turun ke mana sahaja pasukan Perak beraksi (tidak menafikan kesetiaan penyokong yang lain) meskipun ke Kuching, Kota Bahru, Kuala Terengganu, Pasir Gudang dan banyak lagi, mereka turut memberikan semangat dengan cara menaikkan tifo (poster gergasi) dengan menyelitkan mesej tersendiri.
Sebagai contoh pada perlawanan terakhir Liga Premier Malaysia 2022 bertemu Kuching City FC di Stadium Perak sebentar tadi, The Supporters telah memberikan mesej jelas susulan kebangkitan yang bakal disaksikan dalam kem pasukan Perak.
Tifo tersebut memaparkan karakter antagonis dalam filem Batman, Joker dengan mesej yang berbunyi ‘Did You Miss Me, See You Next Season’. Mungkin ramai yang tidak memahami mesej yang cuba disampaikan oleh The Supporters.
Menurut kenyataan salah seorang jurucakap mereka, Joker yang memegang topeng membawa maksud Perak pada musim ini menjadi bahan ketawa pasukan lain dengan pelbagai masalah dihadapi.
Tetapi, dengan perubahan yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi yang diketuai oleh XOX Malaysia, segalanya dilihat akan kembali berada di landasan terbaik pada musim hadapan sekali gus mempamerkan kemampuan sebenar pasukan tersebut.
Ini memberikan maksud yang cukup jelas bahawa The Supporters menyokong penuh perubahan yang dibawa oleh pengurusan baharu dan pastinya mengharapkan kebangkitan dipamerkan Perak nanti.
Apatah lagi, Lim Teong Kim sudah disahkan bakal menjadi pengendali baharu Perak dan sudah ada cakap-cakap yang mengatakan ‘Skuad Yob’ turut akan beraksi dalam kempen Liga Super 2023.
Difahamkan, perbelanjaan dalam menyiapkan tifo tersebut mencecah ribuan ringgit. Satu nilai yang cukup besar untuk dibelanjakan ketika Perak kini hanya berada di dasar liga.
Selain itu, ‘passion’ tahap tertinggi segelintir peminat bola sepak Perak nyata mencuri tumpuan ramai kerana sebelum ini terdapat gerakan lain yang melakukan kutipan dana untuk membantu ketika para pemain serta barisan kejurulatihan tidak menerima sebarang pembayaran gaji sebelum diambil alih oleh XOX pada pertengahan Mei lalu.