Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli melihat individu yang pakar dalam bidang korporat mampu untuk menjadi peneraju buat Malaysian Football League (MFL) selepas presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan tersebut.
Menurut sumber Berita Harian (BH) Online, Pekan yang juga merupakan Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpendapat langkah itu perlu dilakukan kerana MFL juga merupakan sebuah entiti berasaskan perniagaan.
Pendapat itu jelas berbeza dengan apa yang telah disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad dimana beliau mencadangkan Timbalan Presiden FAM pada ketika ini untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Kita tidak nafikan peranan ‘orang bola’ dalam organisasi MFL tetapi kita harus ingat bagaimana operasi MFL dan peranan yang dimainkan itu tidak semestinya mesti dilakukan oleh ‘orang bola’ sahaja.”
“Dalam beberapa perkara besar seperti penjanaan kewangan kita perlukan juga orang yang mahir dalam strategi terbabit selain aspek pengurusan dan pentadbiran korporat.”
“Dengan situasi semasa, cabaran lebih besar perlu dihadapi. Jadi saya lihat sesiapa pun penggantinya nanti perlu tampil dengan perancangan jangka masa panjang untuk memastikan kestabilan kewangan MFL boleh dicapai sekurang-kurangnya untuk tiga atau empat tahun ke depan.”
“Bukan sekadar cari duit untuk bertahan selama satu tahun sahaja dan tahun depan, baru cari yang lain sehingga beroperasi pada kadar cukup cukup makan. MFL perlu dilayan sebagai sebuah entiti perniagaan. Jadi ia perlu diuruskan oleh mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam aspek ini.”
“Setakat mendapatkan duit daripada penajaan semata mata tidak mencukupi kerana MFL juga perlukan orang yang mampu merancang untuk menjana duit sendiri dengan apa yang mereka ada,” ujar Pekan Ramli bercakap kepada BH Online.
Dalam perkembangan sama berkenaan badan penganjur bola sepak tempatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes bersedia untuk menggantikan Hamidin sekiranya beliau dicalonkan untuk jawatan Presiden MFL.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Khairil Anuar Kesal Dengan Simulasi Dilakukan, Mohon Maaf Kepada Pengadil
Netizen Tak Puas Hati Aksi ‘Penerajang’ Adam Reed Hanya Terima Kad Kuning Dari Pengadil
Magis Dollah Berhasil Bantu Sri Pahang Raih Kemenangan Pertama Liga Super