Skuad Tok Gajah akhirnya raih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila menewaskan Sabah, 3-1 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah kerana mereka dipaksa bekerja keras pada separuh masa pertama sehingga gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang di depan pintu gol.
Gandingan serangan Yevhen Bokhashvili dengan Lee Tuck kerap kali memberikan ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan lawan namun percubaan mereka sering tersasar. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sri Pahang bermula dengan garang dan terus mengandakan asakan ke kubu Sabah. Corak permainan mereka kali ini cukup berbeza sejak Dollah Salleh mengambil alih pasukan daripada Thomas Dooley yang telah ‘direhatkan’.
Pada minit ke 55, kemarau gol Pahang berakhir apabila Yevhen mengambil kesempatan terhadap situasi kelam kabut dalam kotak penalti dengan merembat masuk gol pertama hasil sepakan percuma Lee Tuck.
55' Gol | Yevhen Bokhashvili
Penyerang dari Ukraine, Yevhen Bokhashvili memecah kebuntuan di Stadium Darul Makmur!@OfficialPahang 1-0 @SabahFCofficial #LigaSuper2021 pic.twitter.com/3Y0GU1ki0E
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 16, 2021
Gol itu membangkitkan semangat pemain Pahang untuk terus memburu jaringan kedua. Dollah kemudian melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Hafiz Ramdan pada minit ke 65 bagi menggantikan tempat Pedro Henrique di posisi sayap.
Percaturan itu membuahkan hasil yang lumayan apabila Lee Tuck menanduk masuk gol kedua pada minit ke 70 selepas menerima hantaran daripada Baqiuddin dari sebelah kanan.
70' Gol | Lee Tuck
Gol pertama Lee Tuck bersama Sri Pahang FC!@OfficialPahang 2-0 @SabahFCofficial #LigaSuper2021 pic.twitter.com/uSkmKYSCr4
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 16, 2021
Tersentak dengan jaringan itu, Sabah bangkit mengaturkan gerakan dan hampir memecah kebuntuan melalui rembatan Amri Yahyah pada minit ke 71 namun tersasar.
Sabah jelas tidak berputus asa dan mereka berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke 80 selepas Saddil Ramdani yang juga bekas pemain Pahang menanduk masuk sepakan percuma Levy Madinda.
80' Gol | Saddil Ramdani
Sabah FC merapatkan jurang gol menerusi tandukan Saddil Ramdani!@OfficialPahang 2-1 @SabahFCofficial #LigaSuper2021 pic.twitter.com/XkevZWJGPL
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 16, 2021
Selepas itu, mereka sudah tidak berdaya lagi mencari jaringan penyamaan sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh untuk Sri Pahang. Kemenangan itu juga telah memperbaiki kedudukan Pahang dalam carta Liga Super dan mereka kini sudah terkeluar daripada zon penyingkiran setakat ini.