Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone mencuri tumpuan pada aksi menarik skuad bimbingannya menentang Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021/22 awal pagi tadi.
Ia berikutan tindakannya yang terus meninggalkan padang tanpa bersalaman dengan rakan sejawatannya di Liverpool, Jurgen Klopp selepas tamat perlawanan di Wanda Metropolitano itu.
Keadaan itu sedikit membuatkan Klopp terkilan dengan perlakuan Simeone tetapi dalam masa yang sama beliau tetap memahami penyebab tindankan pengendali kelahiran Argentina tersebut.
Sehubungan dengan itu, Simeone tampil memberikan alasan mengapa beliau meluru masuk ke bilik persalinan tanpa menghiraukan Klopp.
“Saya tidak pernah bersalaman selepas tamat satu-satu perlawanan. Saya tidak menyukainya,” ujar Simeone menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Ia merupakan perkara yang tidak sihat bagi pasukan yang menang atau pun kalah. Begitulah cara saya melihat perkara tersebut.”
“Tetapi sekarang apabila berjumpanya [Klopp] saya akan bersalam dengannya tanpa sebarang masalah.”
Pertemuan menarik di kota Madrid itu menyaksikan tuan rumah bangkit daripada ketinggalan 0-2 dimana Antoine Griezmann menjaringkan dua gol untuk memadam kelebihan dihasilkan Mohamed Salah dan Naby Keita.
Bagaimanapun, Griezmann terpaksa menelan kepahitan pada minit ke-52 selepas beliau diperintahkan keluar padang susulan kekasaran dilakukannya terhadap Roberto Firmino.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Liverpool yang mendapat sepakan penalti dan disudahkan dengan baik Salah untuk jaringan kemenangan.
Hasrat Atletico untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata tidak kesampaian setelah sepakan penalti yang diberikan terpaksa ditarik balik oleh Video Assistant Referee (VAR).
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
UCL: Liverpool Berjuang Mati Matian Untuk Tewaskan 10 Pemain Atletico
Putera Mahkota Kemboja Batalkan Niat Beli Kelab Ligue 1, Saint-Étienne