Selepas Barcelona mengalami masalah kewangan sehingga mengalami kesukaran untuk mendaftarkan pemain baharu, giliran Atletico Madrid pula perlu mengambil tindakan drastik dalam usaha untuk mengawal sumber kewangan kelab.

Jelas pada ketika ini, Atletico Madrid yang dikendalikan Diego Simeone sedang terdesak untuk mendapatkan mekanisme terbaik bagi mengurangkan kos perbelanjaan pasukan mereka.

Menurut laporan dikeluarkan Goal, pihak pengurusan tertinggi juara La Liga 11 kali itu dikhabarkan meminta beberapa pemain bintang mereka untuk menerima pengurangan gaji.

Antara pemain bintang yang dimaksudkan untuk menerima pengurangan gaji tersebut ialah Thomas Lemar, Jan Oblak, Koke, Antoine Griezmann dan pemain muda, Joao Felix.

Difahamkan, Oblak dan Lemar telah bersetuju untuk menerima gaji lebih rendah dan penangguhan sementara pembayaran gaji.

Atletico Madrid Tak Mahu Berikan Guard Of Honor Kerana Ianya Cubaan Mengaibkan Mereka

Masih berbaki kontrak sehingga 2027, Lemar yang merupakan pemain skuad kebangsaan Perancis sudah pun menyatakan persetujuannya untuk memotong 40 peratus daripada gaji diterimanya.

Manakala penerima gaji tertinggi di Atletico, Oblak akan menandatangani kontrak lanjutan sehingga tahun 2028 dengan persetujuan untuk menerima potongan gaji yang besar serta penangguhan pembayaran.

Sementara itu, perbincangan dengan pemain-pemain lain juga turut menyaksikan perkembangan positif berhubung perkara berkenaan.

Selepas mengharungi dua perlawanan La Liga 2022/23, Atletico mencatatkan kemenangan 3-0 pada aksi sulung bertemu Getafe, namun kemudiannya tumpas 0-2 ditangan Villareal.

Apa yang sedang dihadapi pada ketika ini  oleh Atletico Madrid dan pasukan lainb bukanlah satu petunjuk positif dalam bola sepak moden kerana perbelanjaan berlebihan dalam usaha mendapatkan serta mengekalkan pemain sedia ada menyebabkan pasukan-pasukan ternama perlu menghadapi situasi sedemikian.

Kredit Featured Image: Atletico Madrid

 

Sumber