Penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy nyata telah mencuri tumpuan pada aksi kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 tempoh hari apabila beliau mempamerkan ketangkasan luar biasa ketika bertemu Brentford di gelanggang lawan.
Pada perlawanan tersebut, Mendy menyelamatkan enam percubaan berbahaya dilancarkan skuad kendalian Thomas Frank itu sekali gus membantu Chelsea mencatatkan kemenangan 1-0 hasil jaringan tunggal Ben Chilwell pada lewat aksi babak pertama.
Antara aksi yang amat menarik untuk disaksikan ialah sewaktu Mendy menafikan percubaan akrobatik dilakukan Christian Norgaard pada lewat permainan.
Di sebalik kekentalan yang dipamerkan, Mendy bagaimanapun tidak mendabik dada berhubung perkara tersebut dan menyifatkan ia adalah hasil kerja keras dan usaha sepasukan.
“Saya sangat gembira dengan aksi yang ditampilkan pada perlawanan ini,” ujar Mendy menurut kenyataan dikeluarkan di laman sesawang rasmi Chelsea.
“Semua ini kerana kerja keras yang ditunjukkan. Saya bersedia sepanjang minggu bersama rakan sepasukan dan jurulatih untuk membantu pasukan ini. Kerana itu saya berjaya melakukannya dengan baik.”
“Kami tahu bahawa kami akan menghadapi cabaran getir menentang pasukan yang sangat sukar. Mereka telah membuktikannya sejak dari mereka mula dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris.”
“Terutamanya di gelanggang sendiri bertemu Arsenal dan Liverpool yang mana mereka menghasilkan keputusan yang baik.”
“Ia memang sangat sukar. Terdapat intensiti yang sangat tinggi dalam perlawanan ini dan persekitaran stadium yang hebat. Kami terpaksa menderita dan kami menderita bersama-sama.”
“Kami berjaya melepasi cabaran ini bersama-sama. Ia satu keputusan positif dan sekarang kami perlu untuk mengekalkan momentum ini dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah,” tambah Edouard Mendy lagi.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Brad Maloney Percaya Harith Mampu Beri Kelebihan Kepada Pasukan Negara
Empat Pemain Muda Mungkin Dipanggil Beraksi Di Piala AFF Suzuki