Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan semua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 melibatkan skuad Harimau Malaya akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula bulan depan.

Beliau juga menegaskan FAM sentiasa mempunyai ‘plan B’ sekiranya SNBJ tidak dapat digunakan disebabkan oleh keadaan padang yang tidak memuaskan.

“Setakat ini kita akan main di SNBJ. Kita sentiasa memikirkan  alternatif lain tetapi buat masa ini tiada keperluan lagi,” jelasnya.

Ketika saingan Pestabola Merdeka baru-baru ini, keadaan padang tidak berada di tahap terbaik dan rumput mudah tercabut sekaligus mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, Noor Azman berkata pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berjanji keadaan padang akan jadi lebih baik sebelum perlawanan menentang Krygyzstan nanti.

“Kami dijanjikan padang akan siap pada akhir September, jadi kami berpegang pada janjilah. Kami sudah hantar surat untuk memaklumkan mengenai penggunaan stadium.

“Selepas itu apa yang dia (PSM) janji memang 30 September siap, kami pun pakailah,” katanya.

TMJ
Keadaan padang yang terkopak di SNBJ minggu lepas. Sumber Gambar: Scoop

Kos penanaman rumput jenis Zeon Zoysia itu ditaja oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dengan Kementerian Belia dan Sukan turut membelanjakan 4.7 juta ringgit lagi untuk kerja-kerja berkaitan.

Tajaan baginda adalah sebagai hadiah kepada bola sepak Malaysia selepas saban tahun pengendali stadium menghadapi masalah berkaitan kualiti rumput.

Sebelum penajaan tersebut, TMJ telah meminjamkan sebuah kanvas dari Stadium Larkin kepada Stadium Nasional untuk menjaga dan melindungi padang Bukit Jalil daripada hujan lebat menjelang perlawanan penting Harimau Malaya dan perlawanan-perlawanan akhir kejohanan Piala.

TMJ sentiasa menekankan keperluan padang dan kemudahan bola sepak yang berkualiti untuk memartabatkan bola sepak Malaysia, dan itu adalah antara asas kepada kebangkitan JDT untuk menjadi kelab bola sepak terkemuka di Asia Tenggara.