Pihak Polis melarang para penyokong membawa masuk bendera negara lain ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini sempena perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara pasukan Malaysia menentang Tajikistan.
Baca Juga:
- Tiada Siaran Langsung Pestabola Merdeka 2023 Di Saluran RTM
- Pestabola Merdeka 2023: Jurulatih Tajikistan Minta Pengadil Lebih Bagus Pada Aksi Final
- Pestabola Merdeka 2023: Tundukkan India 4-2, Malaysia Melangkah Ke Final
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin , bendera yang tiada kaitan dengan perlawanan tersebut terletak dalam kategori bahan terlarang bagi memastikan ketenteraman awam terjamin.
“Mercun, bunga api, suar (flare), topi keledar, pen laser, objek tajam seperti kayu dan besi, senjata tajam dan merbahaya, minuman keras dan tongkat adalah bahan terlarang.
“Selain itu, power bank, botol air, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, vape dan bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan juga adalah bahan terlarang,” katanya.
Salam @hannahyeoh @AdamAdli , kenapa Bendera Palestin dirampas dan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Stadium Bukit Jalil untuk Pestabola Merdeka? pic.twitter.com/Nv1ILSxkL1
— Khairi Zulfadhli (@khairizulfadhli) October 13, 2023
Sehubungan itu, polis akan membuat pemeriksaan ketat di semua pintu masuk stadium yang dibuka pada jam 6 petang ini dan perlawanan dijadualkan bermula pada jam 9 malam.
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium.
“PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium,” katanya.
Polis juga memohon para penyokong menjaga tingkah laku sepanjang perlawanan berlangsung bagi mengelakkan sebarang pergaduhan berlaku.
“Kita juga mohon semua pihak menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu,” tegasnya.