Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini berkongsi perkembangan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila melakukan lawatan bersama ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Baca Juga:
- Keadaan Padang SNBJ Kini Bertambah Baik
- Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 Kekal Di SNBJ
- TMJ Berikan Komen Mengenai Padang Baharu SNBJ
Sebelum ini, padang baharu yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia hasil sumbangan Tunku Ismail (TMJ) itu rosak teruk dan mendapat kritikan hebat ketika saingan Pestabola Merdeka 2023 bulan lepas.
Namun, menerusi kenyataan di laman instagram, Hannah Yeoh menyatakan pihak stadium memberi jaminan bahawa padang itu akan bertambah baik menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 minggu depan.
“Setelah mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM melalui lawatan tapak bersama dan keadaan padang adalah lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini dan sesuai untuk digunakan (playable), maklum balas ini dipersembahkan kepada Tunku Mahkota Johor,” tulisnya.
Berdasarkan tinjauan di laman instagram, keadaan rumput zeon zoysia kelihatan lebih panjang dan padat menghijau.
“PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) akan kekal komited untuk memastikan padang Stadium Nasional berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya dan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah yang sewajarnya,” tambah Hannah.
Turut hadir di lawatan tapak tersebut ialah Presiden FAM, Dato Hamidin Mohd Amin yang berkongsi pandangannya bersama pihak PSM.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan itu, skuad kendalian Kim Pan Gon itu akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November 2023.