Disebalik kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Piala FA 2022 selepas menewaskan Terengganu 3-1 semalam, terdapat situasi yang mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Baca Juga:

Sebelum perlawanan bermula, tular di media sosial mengenai video penutupan padang Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kanvas yang berwarna hijau sekaligus menimbulkan rasa teruja dalam kalangan penyokong.

Kanvas tersebut sebenarnya milik Stadium Larkin dan ia adalah langkah proaktif diambil pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) bagi memastikan  kelancaran final Piala FA tanpa berhadapan masalah padang basah.

Tindakan TMJ meminjamkan kanvas kepada pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil turut mendapat pujian daripada para peminat bola sepak tempatan kerana ia langkah yang tepat susulan hujan pada sebelah petang berkemungkinan mengakibatkan padang bertukar menjadi becak.

Sebelum ini, padang stadium tersebut rosak teruk ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 sehingga mengundang kritikan daripada pelbagai pihak. Malah, pihak Perbadanan Stadium Malaysia(PSM) turut dikecam kerana menggunakan penyodok untuk mengeluarkan air daripada permukaan padang.

TMJ sentiasa menitik berat mengenai keadaan padang di stadium tersebut memandangkan ia adalah stadium terbesar di negara ini. Buktinya, beliau mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ.

Mengikut perancangan, proses penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan bermula pada bulan Mac 2023.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah apabila terjahan dilakukan kerana rumput akan mudah tercabut.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.