Skuad Harimau Malaya kembali beraksi dalam saingan Pestabola Merdeka 2023 pada bulan Oktober depan yang turut disertai oleh 3 pasukan iaitu India, Palestin dan Tajikistan.

Justeru itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap para penyokong setia Harimau Malaya dapat turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu.

Lautan penyokong seramai 80,000 ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain yang bakal berdepan pasukan di ranking 99 dunia, India pada 13 Oktober 2023.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu kini dalam prestasi terbaik selepas mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa minggu lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman meluahkan harapan mahu melihat segenap tempat duduk di SNBJ dibanjiri penyokong negara.

“Sudah tentu keputusan positif di China itu akan membawa impak yang baik kepada kehadiran penyokong kita ke stadium nanti.

“Saya harap stadium dapat dibanjiri dan sama-sama kita beri sokongan padu kepada skuad negara di Pestabola Merdeka nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Dua pasukan yang menang akan mara ke final manakala pasukan yang kalah bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober 2023 di SNBJ.

Para penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkan tiket perlawanan pestabola Merdeka secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.